Pilih Bahasa

LIHAT PENGGUNAAN DADAH DARI SUDUT KESIHATAN SOSIAL- LIEW

PUTRAJAYA: Penggunaan dadah haruslah lebih dilihat melalui sudut kesihatan sosial dan diselia melalui sektor kesihatan, dan bukanlah ditangani melalui sistem pengadilan jenayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata penggunaan dadah dan ketagihan adalah satu kesan biologi yang kompleks yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kecenderungan genetik, faktor psikologi dan pengaruh persekitaran.

Datuk Liew Vui Keong. Gambar Fail SNt

Beliau juga berkata penguatkuasaan haruslah lebih tertumpu terhadap aktiviti penyeludupan bekalan dadah dan bukannya menumpukan kepada menghukum terhadap pengguna bahan berkenaan semata-mata.

Liew memberi pandangan itu dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membenteras Gejala Dadah (JKDM) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail di sini pagi tadi.

Menurut Liew, dominasi pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang dalam menentang penggunaan dadah secara haram bukan sahaja kurang berkesan, malah telah memburukkan lagi tahap kesihatan individu terbabit selain turut melibatkan perbelanjaan wang yang besar oleh kerajaan.

“Ini dapat dilihat apabila ada diantara mereka (penagih dadah) yang sudah keluar dari Pusat Serenti kembali dengan tabiat asal kerana tiada dorongan dan sokongan berterusan untuk membantu mereka dalam melawan penyakit ini,” katanya.

Dalam pada itu, Liew berkata beberapa seksyen dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 perlu dikaji semula untuk membetulkan pendekatan hukuman sedia ada.        

Selain Liew, mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Menteri Belia Dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional) Waythamoorthy Ponnusamy, selain Agensi Antidadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia.-SabahNewsToday