Pilih Bahasa

LIMA ‘HOTSPOT’ DADAH BANDARAYA KOTA KINABALU BAKAL ‘DIBERSIHKAN’

Oleh Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji memeriksa barisan Kawalan Kehormatan pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Lima kawasan panas atau ‘hotspot’ di sekitar daerah ini sedang dalam usaha untuk ‘dibersihkan’ daripada kegiatan penyalahgunaan dadah dalam tempoh tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pihaknya dibawah Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Kinabalu akan membanteras kegiatan ini dengan melakukan tindakan yang drastik dengan kekuatan polis di daerah ini.

“Kita telah mengenal pasti lima kampung yang dikategorikan sebagai kawasan ‘hotspots’ di daerah ini.

“Kampung Lokub, Kampung Bakau, Kampung Cenderamata, Kampung Sembulan dan Kampung Tanjung Aru merupakan kawasan yang menjalankan aktiviti jenayah dadah ini di Kota Kinabalu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu di Dataran Pahlawan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji menyematkan pangkat kepada anggota yang dinaikkan pangkat pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Jelas Habibi, beliau telah memilih pegawai dan anggotanya untuk melakukan penugasan ini dan memberikan masa tiga bulan untuk membersihkan kawasan terbabit dari aktiviti dadah.

“Diharapkan menjelang akhir bulan Mac nanti, kesemua kawasan ini bebas dari sebarang kegiatan jenayah dadah.” tambahnya.

Menurut Habibi, kerjasama orang awam termasuk pelbagai agensi serta komuniti kampung amat ditagih untuk bersama memerangi jenayah dadah ini di kawasan mereka.

Dalam pada itu, Habibi turut menyatakan penurunan index jenayah sekitar Kota Kinabalu sebanyak 5.4 peratus daripada 1,628 kes jenayah yang direkodkan pada tahun 2017 berbanding sebanyak 1,541 kes pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,056 kes berjaya diselesaikan. Bagi kesalahan jenayah narkotik pula, seramai 2,166 suspek penagih telah ditahan pada tahun lepas atas pelbagai kesalahan dadah dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952. -SabahNewsToday