Pilih Bahasa

LIMA KAPAL NELAYAN DITAHAN MENUNDA IKAN DIKAWASAN LARANGAN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

SANDAKAN: Sebanyak 1,480 kilogram udang serta 1,210 kilogram ikan pelbagai jenis bernilai RM44,400 dan RM12,100 dirampas sepanjang Ops Pensura di perairan daerah ini, semalam.

Semua rampasan berkenaan adalah susulan daripada penahanan lima buah kapal nelayan yang dikesan melakukan aktiviti menunda ikan di kawasan kurang dua batu nautika dari persisir pantai berhampiran perairan Sungai Asam, Kuala Sungai Kelibong dan Kuala Sungai Pitas Kinabatangan antara jam 4 hingga 5.30 petang.

Salah satu kapal nelayan yang ditahan dalam Ops Pensura di perairan daerah Sandakan, semalam. Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Sandakan

Komendar Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata semua kapal berkenaan dikesan anggota botronda PSC 13 ketika leka menjalankan aktiviti menunda ikan.

Beliau berkata dua  juragan warga tempatan dan tiga juragan warganegara Indonesia berumur antara 44 hingga 54 tahun berserta anak kapal ditahan bersama lima kapal nelayan masing-masing.

Salah satu kapal nelayan yang ditahan dalam Ops Pensura di perairan daerah Sandakan, semalam. Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Sandakan

“Nilai rampasan ini termasuk jumlah kompaun dikenakan adalah berjumlah RM59,000 bagi semua kapal nelayan terbabit.

“Pemilik kapal akan dikompaun sebanyak RM500 untuk kesalahan kali pertama manakala RM1,000 serta RM1,500 bagi kesalahan kedua dan ketiga.

Salah satu kapal nelayan yang ditahan dalam Ops Pensura di perairan daerah Sandakan, semalam. Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Sandakan

“Sekiranya kesalahan berulang lesen boleh dibatalkan dan kapal akan disita,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perikanan 1985. -SabahNews Today