Pilih Bahasa

Lima keluarga dipindah ke PPS banjir di Membakut

Oleh Mohd Nazllie Zainul

MEMBAKUT: Seramai 14 orang penduduk membabitkan lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir di beberapa kampung di daerah ini, petang kelmarin.

Menerusi jumlah itu, terdapat dua lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan.

Sebahagian penduduk kampung mula dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan banjir di beberapa kampung di Membakut. Gambar SNT/ Ihsan APM

Semua penduduk terjejas mula dipindah sejak jam 6 petang berikutan banjir mula menjejaskan tujuh kampung seperti Kampung Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Kayai, Lampijas dan Kampung Baru.

Penolong Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Mejar Erwin Kinsui berkata banjir terbabit turut mengakibatkan jalan Kampung Kayai hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja manakala beberapa jalan lain boleh dilaluu semua jenis kenderaan.

Anggota APM melakukan pemantau berikutan banjir di daerah Membakut. Gambar SNT/ Ihsan APM-

Erwin berkata jumlah penduduk dipindahkan dijangka akan terus bertambah disebabkan cuaca masih berada dlm keadaan mendung dan mungkin diramalkan hujan.

“Kita akan terus melakukan pemantauan secara berterusan di semua kawasan khususnya kampung terletak berhampiran sungai.

Anggota APM membuat persiapan di pusat pemindahan sementara ekoran banjir yang melanda beberapa kampung di daerah Membakut. -Gambar SNT/ Ihsan APM-

“Saya juga meminta semua penduduk supaya menghubungi pihak berkuasa tempatan secepat mungkin sekiranya kawasan rumah masing-masing sudah mula dinaiki air bagi memudahkan proses pemindahan dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam pada itu, Erwin turut meminta orang awam agar menjaga keselamatan diri khususnya kanak-kanak ekoran bimbang berlaku sebarang kejadian tidak diingini ketika banjir. -SabahNews Today