Pilih Bahasa

Lima kru bot ditahan langgar syarat lesen

Oleh Junaidi Ladjana

Lima kru bot yang ditahan pasukan Maritim Malaysia Sabah kerana melanggar syarat lesen di perairan Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Maritim

KOTA KINABALU: Lima kru bot pukat tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati melanggar syarat lesen menangkap ikan di perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata bot berkenaan ditahan di kedudukan 0.71 batu nautika arah barat, Jeti Universiti Malaysia Sabah (UMS), oleh bot peronda ketika melaksanakan tugas rondaan di kawasan perairan Kota Kinabalu, jam 12 tengah hari.

“Sebaik diperiksa, juragan dan awak-awak gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan nama juragan juga tidak terdapat dalam lesen bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut juragan dan seorang awak-awak warga Indonesia manakala tiga orang lagi mengaku Bajau Laut dan semua yang ditahan berusia lingkungan 19 tahun ke 26 tahun,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Kamaruszaman berkata, ketika ditahan, tiada sebarang hasil laut di dalam bot berkenaan dan bot kemudiannya di bawa ke Jeti Maritim, Sepanggar, untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya.

Bot pukat tunda ditahan kerana melanggar syarat lesen menangkap ikan di perairan Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Maritim

Sementara itu, katanya Maritim Malaysia akan sentiasa meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di seluruh perairan negeri ini bermula dari Zon Maritim Labuan hingga ke Zon Maritim Semporna.

“Tindakan ini diambil dalam usaha mengekang aktiviti jenayah laut seperti pengeboman ikan, pencerobohan bot nelayan asing, penculikan dan kecurian di laut.

“Beberapa operasi khas akan dirancang dan dilaksanakan bagi menjejak mereka yang melanggar undang-undang laut di perairan negeri ini,” katanya. -SabahNewsToday

tamat