Pilih Bahasa

Lima lagi rekod kejohanan Saga IX lebur

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Olahraga hari ini menyaksikan lima rekod kejohanan Sukan Sabah (Saga) IX dipecahkan dalam saingan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Nabawan di sini hari ini.

Feova Lim Yi Fei (tengah) meraikan kejayaannya mencipta rekod baharu kejohanan dalam acara lompat jauh wanita dengan catatan 5.52m. – Gambar SNT/Ihsan KBS

Ia menjadikan sebanyak enam rekod keseluruhan telah diperbaharui sepanjang dua hari acara olahraga diadakan dengan atlet Kota Marudu, Deaigo Emanuel Wayring berjaya memecahkan rekod kejohanan dalam acara 400 meter lari berpagar 55.22 saat semalam.

Lima rekod baharu Saga IX ialah daripada acara lompat jauh wanita, lompat tinggi lelaki, lempar cakera lelaki dan wanita serta 800 meter wanita.

Atlet lompat tinggi beraksi dalam final acara itu yang menyaksikan rekod baharu kejohanan dicipta bagi kategori lelaki. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Atlet Tuaran, Feova Lim Yi Fei berjaya melakukan lompatan sejauh 5.52m untuk memadam rekod tujuh tahun milik atlet Ranau, Nurul Atiqah Sukur yang dilakukannya pada 2011.

Dalam acara lompat tinggi lelaki, Mohamad Eizlan Dahalan yang mewakili pasukan Tawau mencatat lompatan 2.05m sekaligus mengatasi rekod Farell Glen Felix Jurus iaitu 1.98m yang dicipta dua tahun lalu.

Acara lempar cakera cemerlang apabila atlet lelaki dan wanita berjaya memecahkan rekod Saga IX bermula dengan lontaran Mirach Han dari Tawau yang mencatat balingan 42.22m manakala wakil Keningau, Nobenecka Pinalus dengan balingan emas 35.95m.

Kecemerlangan atlet olahraga negeri ini diteruskan dengan kejayaan atlet tuan rumah, Hizillawanty Jamain dalam acara 800 meter wanita yang dengan masa 2m 24.48s. – SabahNewsToday