Pilih Bahasa

Lima lelaki ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Seramai lima lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam sekatan jalan raya ‘Op Mabuk’ di kedua-dua arah Jalan Bundusan di sini, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula pukul 9 malam hingga 1 pagi itu turut mengeluarkan 19 saman pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 95 pelbagai jenis kenderaan.

Pasukan polis dari IPD Penampang menjalankan Op Mabuk di kedua-dua arah di Jalan Bundusan, Penampang. – Gambar SNT/Ihsan IPD Penampang

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata seramai 115 individu diperiksa membabitkan 95 lelaki dan 20 wanita.

Beliau berkata lima pemandu lelaki berusia 25 hingga 59 tahun yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

Anggota polis trafik IPD Penampang memeriksa kenderaan ketika menjalankan Op Mabuk di Jalan Bundusan, Penampang. – Gambar SNT/Ihsan IPD Penampang

“Dalam operasi ini, polis turut mengeluarkan 19 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Selain itu, kesalahan lain yang dikesan adalah membabitkan ubah suai ekzos dan kesalahan nombor pendaftaran, tiada perlindungan insurans dan kegagalan lampu brek,” katanya dalam ketika dihubungi hari ini.

Polis trafik menahan penunggang motosikal dalam Op Mabuk di Jalan Bundusan, Penampang. – Gambar SNT/Ihsan IPD Penampang

Mohd Haris menjelaskan, operasi tersebut akan diteruskan dalam usaha polis mengekang pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol di daerah itu.

Sehubungan itu, Mohd Haris berkata menasihati pengguna jalan raya supaya mengambil serius dan mempunyai rasa tanggungjawab keselamatan kepada diri sendiri dan pengguna jalan yang lain.

Katanya kesan memandu di bawah pengaruh alkohol amat membahayakan bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain. – SabahNewsToday