Pilih Bahasa

Lima lelaki ditahan miliki senjata api

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Suspek yang disyaki memiliki dua senjata api dtahan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) di Pulau Mataking. – Gambar SNT / Ihsan ATB 2 Tawau.

SEMPORNA: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) berjaya menahan lima lelaki tempatan dipercayai memiliki dua senjata api di perairan Pulau Mataking dekat sini. 

Komander ATB2, Brigadier Jeneral Datuk Zarondin Md Amin berkata kesemua suspek tersebut yang ditahan telah diserahkan ke Balai Polis Daerah Semporna untuk siasatan.

Dua senjata api jenis pistol dan shotgun, serta 51 butir peluru ditemui dalam bot yang dinaiki suspek. – Gambar SNT/Ihsan ATB2 Tawau.

Terdahulu Zarondin berkata anggota operator radar mengesan bot pelancong dinaiki suspek berusia 28 hingga 45 tahun dalam keadaan mencurigakan masuk ke perairan Malaysia kira-kira 9.56 pagi tadi. 

Katanya bot pelancong terbabit pada awalnya bergerak laju dari perairan Sitangkai, Filipina menuju ke perairan Pulau Mataking.

Telefon bimbit milik suspek yang dirampas oleh pihak berkuasa. – Gambar SNT / Ihsan ATB 2 Tawau.

“Sejurus menyedari bot tersebut memecut laju memasuki perairan Sabah, anggota ATB 2 menerusi Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) bertindak memintas bot berkenaan.

“Pemeriksaan ATB2 menemuka dua senjata api jenis pistol dan shotgun serta 51 butir peluru. Kita turut merampas enam telefon bimbit milik suspek,” katanya.

Katanya bot yang dinaiki suspek kemudian dibawa ke Pulau Mataking untuk dan barang rampasan  diserah ke Balai Polis Daerah Semporna untuk tindakan lanjut. – SabahNewsToday