Pilih Bahasa

LIMA LELAKI TEMPATAN DITAHAN BAWA 55 RIBU LITER MINYAK DIESEL

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan lima lelaki tempatan membawa 55,000 liter minyak diesel menggunakan lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tamat tempoh, di perairan Sungai Serudong, di sini, petang semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan Operasi Pluto Timur dan Operasi Maharlika Dua pukul 3.20 petang itu menahan serta memeriksa bot kargo yang dinaiki suspek berusia 34 hingga 72 tahun.

Lima lelaki tempatan ditahan bawa 55,000 minyak diesel menggunakan lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang tamat tempoh. Gambar SNT / Ihsan APMM Tawau

“Pemeriksaan mendapati, bot terbabit dipenuhi muatan sebanyak 55,000 liter minyak diesel.

“Kita mendapati, lesen kebenaran dari Kementerian KPDNHEP untuk membawa minyak diesel terbabit telah tamat tempoh pada 26 Februari 2019 manakala lesen bot berkenaan sudah tamat tempoh pada 31 Mei 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata semua suspek ditahan manakala bot kargo dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Semua barang rampasan dianggarkan bernilai RM350,000.

Pihak APMM mendapati, lesen bot kargo terbabit juga tamat tempoh pada 31 Mei 2018. Gambar SNT /Ihsan APMM Tawau

“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO),” katanya. – SabahNewsToday