Pilih Bahasa

Lima pelajar KV Keningau sertai festival tarian di Indonesia

KOTA KINABALU, 8 Okt — Pelajar Kolej Vokasional Keningau (KVK) terus mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa apabila lima pelajarnya berpeluang menyertai Festival Kesenian Antarabangsa Pagelaran Barboovie di Bandung, Indonesia selama empat hari, berakhir semalam.

Gambar Bernama

Pasukan tersebut terdiri daripada lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun iaitu Alvira Doloris, Mel C Jane Casmil, Brenda Fedelis, Liberty Michael serta Larius Pitili.

Mereka diiringi dua guru iaitu Nurazilah Othman dan Andy Su Kim Chai serta pegawai KVK Dzul Japarisa Ekang.

Nurazilah yang juga pengurus dan jurulatih pasukan, memberitahu Bernama di sini hari ini, para penari dari KVK mempersembahkan tarian ‘karantikung’, merupakan tarian suku kaum Sungai Milian yang berasal dari Kinabatangan.

Menurutnya pergerakan tarian ini menggambarkan aktiviti pertanian masyarakat tersebut seperti pergerakan menebas, menuai dan menanam padi.

Beliau merupakan jurulatih pasukan tarian KVK sejak 2009 pernah mewakili Sabah di pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuklah Sabah International Folklore Festival (SIFF).

Sementara itu, pengetua KVK Johari Jaibin berkata KVK komited dalam program pengantarabangsaan kerap menghantar pelajar dan guru ke luar negara untuk menyertai pertandingan inovasi serta persidangan penyelidikan.

Katanya kolej itu juga menggalakkan guru dan pelajar untuk menyertai program bersifatkan kebudayaan seperti persembahan tarian ini agar dapat mengekalkan tradisi dan kesenian pelbagai kaum di negeri ini.

— BERNAMA