Pilih Bahasa

Lima pelajar SMK Wakuba terbabit kemalangan jalan raya

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Bas yang membawa sekumpulan pelajar SMK Wakuba remuk dalam kemalangan jalan raya di Batu 22 Jalan Apas. – Gambar SNT/hsan IPD Tawau

TAWAU: Seorang pelajar perempuan tingkatan satu menerima 19 jahitan di bahagian muka dan tangan selepas bas sekolah yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Batu 22 Jalan Apas, di sini semalam.

Empat lagi pelajar perempuan berusia 13 tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun cedera di bahagian lutut, muka dan tangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan NorAzizulkifli Mansor berkata kejadian tersebut berlaku pada pukul 5.50 petang ketika bas sekolah yang membawa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakuba sedang dalam perjalanan menuju ke Balung.

Toyota Vigo rosak pada bahagian hadapan dalam kemalangan di Tawau. – Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Ketika tiba di tempat kejadian, pemandu bas berusia 37 tahun yang berada di lorong kiri cuba mengubah laluannya dengan memotong sebuah lori tiga tan jenis Isuzu yang berada di hadapannya sebelum dilanggar kenderaan jenis Toyota Vigo yang berada di lorong kanan.

“Akibat kemalangan itu, bas sekolah terbabit terheret dan merempuh lori Isuzu yang berada di hadapan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazizulkifli berkata, kemalangan terbabit berpunca daripada kecuaian pemandu bas sekolah yang memotong secara bahaya.

Seorang pelajar yang tersepit dibahagian tempat duduk hadapan penumpang menerima 18 jahitan di bahagian muka dan satu di bahagian tangan, empat pelajar dan isteri kepada pemandu bas cedera ringan manakala pemandu bas, lori dan Toyota Vigo tidak mengalami kecederaan. 

Katanya semua yang cedera dibawa ke Hospital Besar Tawau dan dirawat sebagai pesakit luar dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday