Pilih Bahasa

Lima penumpang warganegara Indonesia ditahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Lima penumpang bot termasuk seorang wanita warganegara Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati cuba menyusup masuk ke Sungai Melayu, Sebatik dari Tawau, di perairan Pulau Sebatik, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi, Komander Maritim Tawau, Mohd Yusri Hussin berkata pihaknya yang sedang menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin di sekitar kawasan tanggungjawab menahan bot penumpang terbabit sekitar pukul 9.30 pagi.

Lima penumpang warganegara Indonesia ditahan kerana cuba menyusup masuk ke Sungai Melayu, Sebatik dari Tawau tanpa dokumen pengenalan diri yang sah. Gambar SNT / Ihsan APMM Tawau

“Pemeriksaan mendapati juragan bot berusia 26 tahun itu memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala lima penumpang termasuk seorang wanita masing-masing berusia dalam lingkungan 26 hingga 49 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan yang sah.

“Bot penumpang berkenaan dipercayai bergerak menuju masuk ke Sungai Melayu, Sebatik dari Tawau dengan menggunakan laluan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya bot dan semua penumpang diiring masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63. – SabahNewsToday