Pilih Bahasa

Lima suspek kes bunuh gajah dibebas dengan ikat jamin polis, seorang lagi tiada dokumen didakwa di mahkamah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Lima daripada enam suspek disyaki terbabit kes pembunuhan seekor gajah Pygmy yang ditemui di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan dekat sini, baru-baru ini, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek disyaki pendatang asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Tawau bagi pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor.

Enam suspek dibawa keluar oleh pihak polis dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) dari Mahkamah Majistret selepas tempoh tahanan reman empat hari dikeluarkan awal bulan ini. – Gambar Fail SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Lima orang yang dibebaskan dengan jaminan ini akan terus diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) bagi menyiapkan kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, suspek disyaki pendatang asing dari Indonesia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak memiliki pas atau permit sah menduduki negara ini.

Tertuduh, Osman Ghafar, 48, membuat pengakuan itu dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Felda Umas, Kalabakan, 1.30 pagi, 2 Oktober lalu.

Amir Shah kemudian menetapkan 22 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Dayang Nur Azarinahwaty Ag Kachee.

Tertuduh yang juga buruh kasar antara enam lelaki ditahan polis dalam Ops Khazanah pada 2 Okt lalu, bagi membantu siasatan kes gajah ditemui mati di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan. – SabahNewsToday