Pilih Bahasa

Lindungi badan kehakiman tanpa perduli apa orang lain cakap – Richard Malanjum

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) — “Saya hanya minta anda semua melindungi badan kehakiman tanpa memperdulikan apa yang orang lain mungkin cakap,” kata Tan Sri Richard Malanjum dalam perutusan perpisahannya kepada hakim, pegawai dan kakitangan badan kehakiman, selepas persaraan beliau semalam.

Beliau berkata badan kehakiman adalah benteng terakhir kehakiman serta Kedaulatan Undang-undang dan perlindungan terakhir rakyat untuk mendapatkan keadilan serta kesaksamaan di bawah Kedaulatan Undang-undang.

“Tolong jangan biarkan ia runtuh sama ada dari dalam mahupun dari luar, meskipun jika anda merasakan anda tidak mendapat keadilan. Berikan yang terbaik, usah harapkan balasan!”

Tan Sri Richard Malanjum. Gambar Bernama

Malanjum bersara semalam selepas berkhidmat dalam badan kehakiman selama 27 tahun. Beliau terlebih dahulu mengambil cuti dan kini berada di luar negara.

Beliau enggan diraikan dalam majlis perpisahan rasmi, sebaliknya mengutuskan perutusan selamat tinggal yang diedarkan kepada semua petugas, pegawai dan hakim, pada petang semalam.

Beliau memohon maaf kerana tidak mengucapkan sendiri selamat tinggal, dan menyifatkan saat seperti adalah kelemahan dirinya.

“Tidak banyak untuk saya ungkapkan, sekadar memohon kemaafan seandainya saya bersikap terlalu tegas ke atas anda. Saya tiada niat jahat. Terima kasih banyak atas tahun-tahun indah yang saya lalui bersama institusi ini. Sokongan dan bantuan tidak berbelah bahagi anda menjadikan hidup dalam badan kehakiman ini menarik dan memuaskan hati,” katanya.

Malanjum berkata khidmat beliau dalam badan kehakiman selama 27 amat mengagumkan, sungguhpun terdapat jatuh bangun di sepanjang perjalananan itu, namun ia adalah ganjaran yang sangat bernilai, setiap saat daripadanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan badan kehakiman termasuk para petugas sama ada di pejabat beliau atau dalam unit penyelidikan, pembantu peribadi, dan mereka yang pernah bertugas dengannya semasa beliau menjadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

“Saya doakan selamat maju jaya dan semoga diberi kesihatan yang baik. Jika anda memerlukan sebarang bentuk bantuan, beritahu saya, dan saya akan membantu sedaya upaya saya,” katanya.

“Kepada semua saudara saya hakim-hakim dalam Mahkamah Persekutuan, saya akan merindui kemesraan dan keakraban persahabatan yang dijalin selama ini. Teruskanlah kerja cemerlang anda. Negara memerlukan anda terutamanya dalam sejarah yang dilakar negara kita sekarang,” katanya.

Malanjum juga berterima kasih kepada hakim Mahkamah Rayuan dan hakim Mahkamah TInggi atas tugas cemerlang mereka kepada badan kehakiman.

Malanjum, anak pertama Sabah yang menyandang jawatan tertinggi badan kehakiman itu, berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara selama sembilan bulan dan 12 tahun sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara kesembilan pada 11 Julai tahun lepas, menggantikan Tun Md Raus Sharif yang meletak jawatan dalam bulan sama.

Beliau mencapai umur persaraan hakim 66 tahun pada Oktober tahun lepas dan diberi perlanjutan selama enam bulan yang berakhir semalam.

— BERNAMA