Pilih Bahasa

LKNS GARISKAN SEMBILAN RESOLUSI BAHARU PELIHARA KEBUDAYAAN ETNIK SABAH

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Ismaily (dua dsri kanan) menyerahkan senarai resolusi yang diperolehi menerusi Seminar Kebudayaan dan Kesenian Etnik Sabah 2019 kepada Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Assaffal P Alian. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sembilan resolusi utama dicapai oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dalam Seminar Kebudayaan dan Kesenian Etnik Sabah 2019 hari ini.

Pengerusi LKNS, Ismaily Bungsu berkata antara resolusi yang sudah dipersetujui adalah berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan serta harta intelek etnik Sabah.

Ismaily berkata ia termasuk mempercepatkan kelulusan garis panduan berkenaan dengan perlindungan warisan harta intelek semua etnik yang terdapat di negeri ini selain penamaan semula Galeri Tan Sri Azman Hashim kepada Galeri Warisan Negeri Sabah.

Assaffal (kiri) menurunkan tandatangan pada papan khas selaku salah satu gimik sempena pelancaran Seminar Kebudayaan dan Kesenian Etnik Sabah 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Selain itu, resolusi lain mencadangkan pengiktirafan Hari Etnik Sabah pada setiap 9 Ogos saban tahun bersempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia.

“Kita juga mencadangkan supaya kerajaan negeri memperuntukkan satu peratus daripada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi pembangunan warisan budaya serta kesenian negeri ini.

Assaffal (dua dari kiri) memukul gong sebagai gimik pelancaran Seminar Kebudayaan dan Kesenian Etnik Sabah 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/MOhd Nazllie Zainul

“Bagaimanapun, semua resolusi ini akan diperhalusi terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri dalam jangka masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas seminar terbabit.

Dianjurkan selama dua hari pada 13 dan 14 Mac, seminar berkenaan di sertai kira-kira 250 peserta mewakili 35 etnik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Majlis disempurkan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Assaffal P Alian.

Sementara itu, Ismaily menyatakan penganjuran seminar berkenaan adalah bertujuan melihat budaya yang wujud di Sabah dan memikir langkah mengekalkan kepelbagaian budaya berkenaan agar tidak hilang ditelan zaman.

Menurutnya, pihaknya percaya resolusi seminar itu bukan sahaja mampu memelihara budaya semua etnik namun dapat menyatukan masyarakat kepelbagaian etnik di Sabah. – SabahNews Today-