Pilih Bahasa

LKTNS bayar dividen kepada 172 benefesiari dan peserta skim April ini

NABAWAN: Seramai 172 benefesiari dan peserta skim di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) bakal menerima dividen awal April ini.

Pengurus Besar LKTNS, Syaheddrul R Joddari berkata, pembayaran dividen tersebut berdasarkan pendapatan dan keuntungan syarikat yang bergantung kepada pasaran semasa.

Syaheddrul (lima dari kanan) bergambar kenangan bersama wakil-wakil peserta Skim Nabawan. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Pembayaran dividen ini merupakan tanggungjawab LKTNS yang diwujudkan bertujuan untuk membangunkan sosio ekonomi masyarakat luar bandar.

“Jadi berdasarkan perjanjian dengan penduduk kampung memang sepatutnya pembayaran dividen akan dibuat setiap tiga bulan iaitu empat kali setahun.

“Bagi tahun ini, pembayaran dividen akan dibuat selepas Mac atau minggu pertama April berdasarkan dengan pendapatan bergantung kepada harga minyak sawit, berapa jumlah dan produktiviti buah.

Salah seorang wakil peserta menerima surat perjanjian daripada Syaheddrul (kanan). Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Semasa kita buat pengiraan, kita akan pastikan sekurang-kurangnya ianya dapat membantu benefesiari dan peserta skim keluar daripada belengu kemiskinan,”ujarnya.

Tambahnya, 170 hektar tanah akan dibuka untuk pembangunan sawit di bawah Skim Nabawan yang akan memberi manafaat kepada 122 peserta skim.
Syaheddrul berkata demikian semasa merasmikan program Muhibah Bersama Peserta Skim Nabawan di sini, pada Khamis. 

Program dua hari tersebut dianjurkan bagi mendekatkan LKTNS dan menghargai perserta skim Nabawan dan turut diadakan penyampaian Perjanjian Peserta kepada Ketua Kelompok dan Masyarakat Skim Nabawan.

Untuk rekod sehingga kini, terdapat 316 orang peserta Skim Nabawan (Projek Pekebun Kecil Berkelompok) dan 271 orang Benefesiari di Sumatalun (Projek Geran Komunal) di daerah ini.

Hadir sama pada program ialah Ketua Hal Ehwal Pekebun-Pekebun Kecil, Fauzie Haji Jamlee, Pengawal Operasi Ladang, Ab Rojhan Jalil, Ketua Perundangan, Alzreena Khamis, Pengurus Wilayah Barat Keningau, Jasni Mohd Yusoff, Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Nabawan, Sosney Andabi dan Ketua Anak Negeri Nabawan, John Sigoh. SabahNewsToday/Penerangan Nabawan