Pilih Bahasa

Lokasi khas bantu golongan wanita berniaga

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) berhasrat mewujudkan lokasi khas bagi membantu golongan wanita di negeri ini memasarkan produk keusahawanan.

Pengerusinya, Datuk Noni Said berkata lokasi berkenaan mungkin memiliki konsep seperti tamu Ahad di Jalan Gaya namun semua peniaga adalah wanita.

Noni (tengah) bersama ahli NGO wanita Sabah sempena Majlis Dialog Jalinan Mesra MPWS Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Noni berkata usaha terbabit dalam usaha membantu wanita tempatan di seluruh negeri meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Kita boleh ramai wanita di negeri ini memasarkan produk sendiri setiap kali ada program, acara serta pameran namun adakalanya usaha itu dilihat berhenti setakat program sahaja.

“Mungkin peniaga-peniaga wanita ini tidak tahu atau tiada tempat berniaga. Oleh itu, kita mahu bantu mereka mewujudkan lokasi khas ini.

Noni (empat dari kanan) ketika Majlis Dialog Jalinan Mesra MPWS Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Selain itu, kita berpendapat tempat ini secara tidak langsung boleh dijadikan daya tarikan pelancong baharu apabila berkunjung ke bandar raya,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Dialog Jalinan Mesra MPWS Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita, dekat sini, malam semalam.

Acara terbabit dihadiri kira-kira 200 ahli NGO daripada 62 persatuan NGO seluruh negeri.

Antara persatuan terlibat termasuklah Desanita, Persatuan Ibu Tunggal Sabah dan Kinabalu Pink Ribbon.

Noni ketika ditemui media selepas Majlis Dialog Jalinan Mesra MPWS Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Dianjurkan MPWS dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), dialog berkenaan bertujuan mengumpulkan maklumat berkaitan keperluan, cadang program dan masalah dihadapi NGO wanita di Sabah.

Dalam pada itu, Noni berkata pihaknya turut meminta semua pihak NGO agar membantu dalam mengenalpasti tempatan bersesuaian untuk melaksanakan perancangan terbabit.

Menurutnya, beliau mahu satu lokasi yang tetap dan tidak menyusahkan orang awam lain ketika perniagaan dijalankan. -SabahNews Today