Pilih Bahasa

LONG PASIA BAKAL DIHUBUNGKAN PERKHIDMATAN UDARA LUAR BANDAR (RAS)

Oleh Alfred Petrus

Azmir memberikan taklimat kepada media mengenai program RAS kawasan Sabah. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Long Pasia menjadi salah satu daripada 40 laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) Sabah dan Sarawak.

Kawasan terpencil ini diberi keutamaan seperti Lahad Datu dan Kudat dalam mengoperasikan semula sistem pengangkutan udara luar bandar.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Azmir Zain berkata Long Pasia dan tiga lagi kawasan di Borneo, Malaysia iaitu Bukit Mabong Kapit, Belaga dan Long Silat Sarawak bakal menerima laluan udara apabila syarikat penerbangan MASwings melebarkan perkhidmatan ke kawasan pedalaman tersebut.

Katanya usaha melalui program RAS tersebut adalah penting untuk pertumbuhan ekonomii Sabah kerana ia memberikan perkhidmatan utama kepada komuniti setempat berasaskan kelas penerbangan yang menghubungkan bandar dan luar bandar melalui udara.

“Kerajaan pusat dan negeri akan membincangkan berkenaan perkara ini melalui kajian dan cadangan yang dibuat oleh Mavcom.

“Kesemua lokasi lapangan terbang ini akan dibuka kepada umum selepas pembinaan dan penambahbaikan kemudahan infrastruktur disempurnakan.

“Long Pasia seumpamanya, kemudahan sudah tersedia, hanya perlu melakukan penambahbaikan untuk menepati piawaian yang ditetapkan sahaja,” katanya ketika dalam Taklimat Media Mavcom mengenai RAS kawasan Sabah di sini pada Selasa.

Azmir berkata Mavcom berpuas hati dengan perkembangan program RAS yang mana baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani perjanjian dengan MASwings untuk mengendalikan 40 laluan RAS Sabah Sarawak untuk tempoh 2019 hingga 2024 di bawah perjanjian Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) yang baru.

Katanya kini RAS baru tersebut oleh MASwings dikurangkan daripada 49 laluan keseluruhan kepada 40 laluan di Sabah dan Sarawak.

PENERBANGAN KK-SANDAKAN, KK-TAWAU DAN KK-MIRI DIKELASKAN SEMULA

“Enam daripada sembilan laluan yang dibatalkan adalah penerbangan MASwings Kota Kinabalu-Sandakan, Kota Kinabalu-Tawau, Kota Kinabalu-Miri, Kuching-Miri, Kuching Bintulu dan Kuching Sibu dan dikelaskan semula sebagai laluan komersial sepenuhnya berkuatkuasa 1 Januari.

“Laluan-laluan ini tidak lagi memenuhi definisi PSO dan tidak boleh dikategorikan sebagai RAS memandangkan mereka dikendalikan secara bersama oleh MASwings dan syarikat penerbangan komersial lain.

“Selain itu, menerusi program RAS, Mavcom kini juga menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) terhadap semua lapangan terbang dalam negara ini,” katanya.

Jelasnya ketika ini, KPI berkenaan telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA Dua.

Menurutnya kegagalan mencapai KPI yang ditetapkan boleh menyebabkan pihak berkaitan dikenakan penalti iaitu bayaran subsidi kerajaan dikurangkan.

“Sejak KPI ini dilaksanakan, pelbagai perkhidmatan di kedua-dua lapangan terbang berkenaan sudah ditingkatkan berbanding sebelumnya.

“Bagi lapangan terbang di Sabah, KPI ini akan dilaksanakan menjelang tahun 2020.

“KPI ditetapkan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan menepati kehendak semua pihak termasuklah ketepatan dan pembatalan penerbangan,” katanya. -SabahNewsToday