Pilih Bahasa

Longgar syarat pinjaman bantu bumiputera: Mohamaddin

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

PUTRAJAYA: Kerajaan akan berbincang dan memperhalusi syarat-syarat pinjaman yang dikenakan kepada peminjam khususnya bagi permohonan Tabung Infra Pelancongan dan Tabung Pelancongan.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata beliau akan mengadakan perbincangan terbabit bersama Kementerian Kewangan dalam waktu terdekat.

Datuk Mohamaddin Ketapi. Gambar Fail SNT

Ini jelasnya ekoran rungutan dan aduan dari pemohon yang rata-ratanya adalah usahawan industri pelancongan yang gagal mendapatkan pinjaman dari bank-bank terlibat.

“Saya difahamkan bilangan peminjam-peminjam yang diluluskan terlalu sedikit dan pemohon yang memohon ramai.

“Ramai di antara mereka ini dikatakan tidak dapat memenuhi syarat ditetapkan pemberi pinjaman berikutan syarat yang dikenakan terlalu ketat hingga menyukarkan peminjam mendapatkan pinjaman khususnya bumiputera,” katanya daam kenyataan di sini hari ini.

Mohamaddin berkata Tabung Infra Pelancongan dan Tabung Pelancongan tersebut masing-masing diletakkan di bawah SME Bank dan Bank Pembangunan.

Menurut Mohamaddin lagi tujuan tabung berkenaan diwujudkan adalah bagi membantu dan memberi pengalaman kepada bakal usahawan bumiputera dan bukan bumiputera, namun kekangan syarat pinjaman dilihat menyekat hasrat itu.

“Saya akan berjumpa sendiri dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam tempoh terdekat ini bagi melihat perkara ini.

“Jika boleh kita mahu agar kelonggaran syarat dapat dibuat kerana kata akhir bagi maksud tindakan tersebut hanya dapat diputuskan oleh Kementerian Kewangan dan Bank Negara.

“Jika syarat-syarat ini tidak dilonggarkan saya bimbang usahawan-usahawan khususnya bumiputera tidak dapat menikmati inisiatif murni kerajaan itu dan seterusnya menggagalkan usaha golongan usahawan terbabit untuk mengembangkan perniagaan atau berjaya dalam perniagaan mereka,” katanya.

Tegasnya industri pelancongan banyak memberi pendapatan kepada negara dan ini terbukti apabila negara berjaya merekodkan peningkatan perbelanjaan pelancong sebanyak RM21.4 bilion bagi suku pertama tahun ini berbanding hanya RM18.3 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Oleh itu katanya negara memerlukan lebih ramai pemain industri yang bertujuan melonjakkan ekonomi negara dan janji-janji untuk menaikkan ekonomi bumiputera harus direalisasikan. – SabahNewsToday