Pilih Bahasa

Lot kedai komersial, pusat kraftangan di bina di Pekan Kemabong

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KEMABONG: Pembinaan lot kedai komersial dan pusat kraftangan di Pekan Kemabong akan menjadi satu lagi pencetus perubahan kawasan ini sekaligus bakal mengubah landskap pembangunan di daerah kecil Kemabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata dua projek berkenaan akan membawa impak positif terhadap sosioekonomi di kawasan luar bandar  khususnya di daerah tersebut pada masa akan datang.

Jamawi (dua dari kiri) mendengar taklimat dari pegawai urusetia pekan kecil Kemabong mengenai pelaksanaan projek pembinaan lot komersial dan pusat kraftangan di Pekan Kemabong. – Gambar SNT/Ihsan Pejabat Dun Kemabong

“Pelaksaan projek itu bakal memberikan keselesaan kepada peniaga kerana lokasi mereka berniaga nanti lebih selesa dan teratur.

“Infrastruktur baharu itu secara tidak langsung akan mempertingkatkan ekonomi penduduk di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri taklimat dan perbincangan bersama pegawai pegawai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar bersama kontraktor pelaksana di pejabat urusetia kecil Kemabong, kelmarin.

Jamawi berkata, syarikat pelabur tempatan juga pasti akan mengintai peluang pelaburan di kawasan ini sekali gus dapat mewujudkan pelbagai sektor pekerjaan termasuk pekerjaan baharu.

“Saya yakin walaupun Pekan Kecil Kemabong terletak di kawasan pedalaman namun dengan usaha serta strategi pemasaran yang berkesan terutama dalam sektor pertanian, pelancongan, kraftangan dan sebagainya orang luar akan berkunjung ke sini,” katanya 

Jamawi berkata apabila projek naik taraf jalan raya antara Pekan Kemabong ke Rundum Highlands siap kelak, pekan itu tempat persinggahan bagi pengunjung yang akan melawat dan bercuti di Rundum Highlands .

Katanya Rundum Highlands sudah mula dikenali oleh pelancong dalam  dan luar negeri ketika ini dan apabila siapnya penambahbaikan sistem perhubungan ke kawasan ini ia akan menjadi pemangkin kepada daerah kecil Kemabong bergerak maju setanding dengan lain lain daerah di Sabah. – SabahNewsToday