Pilih Bahasa

LTdL angkat Sabah ke persada antarabangsa

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pemilihan Sabah selaku pembuka tirai perlumbaan Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020 dianggap peluang terbaik memperkenalkan negeri ini di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia bukan hanya mampu meningkatkan bidang sukan tempatan tetapi industri berkaitan basikal itu sendiri.

Mohd Shafie melepaskan para pelumba di Padang Merdeka di sini pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan JKM

Mohd Shafie berkata penganjuran acara berkenaan di negeri itu boleh menarik lebih ramai pelancong datang ke dalam negara khususnya Sabah.

“Acara ini disertai ramai peserta luar negara dan saya yakin mereka bukan selalu datang ke negeri ini. Mungkin menerusi kedatangan ke Sabah kali ini boleh membuatkan mereka datang semula untuk menikmati keindahan alam semula jadi serta destinasi pelancongan menarik di sini.

Mohd Shafie bercakap pada sidang media. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kanan) dan Menteri Sukan dan Belia Sabah Phoong Jin Zhe (kiri). Gambar SNT/Ihsan JKM

“Berbasikal bukan hanya baik untuk kesihatan tetapi Ini adalah salah satu produk pelancongan yang mampu memberi manfaat kepada negeri pada masa akan datang dalam pelbagai sektor berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan acara Flag Off Perlumbaan Kriterium Malaysia Antarabangsa di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Memasuki penganjuran kali ke 25, seramai 117 peserta membabitkan 20 pasukan terbabit dalam perlumbaan sejauh kira-kira 80 kilometer itu.

Laluan LTDL 2020 di Kota Kinabalu bermula di Padang Merdeka – Jalan KK Bypass – Bulatan Capitol – Jalan Tunku Abdul Rahman – Jalan Tuaran – Simpang Dah Yeh VIlla – Jalan Kompleks Sukan – Bulatan Stadium Likas – Jalan Istiadat – Jalan Tun Fuad Stephen – Bulatan Perkasa – Jalan KK By-pass.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menyatakan pemilihan Sabah dan Sarawak sebagai salah satu lokasi perlumbaan dilihat suatu inisiatif terbaik membolehkan rakyat Malaysia yang berada disebelah pantai timur dapat melihat perlumbaan berprestij itu secara lebih dekat.

Menurut beliau, penganjuran majlis besar seumpama itu juga boleh mendorong dan menggalakkan rakyat bukan hanya dapat menjayakan LTdL tetapi satu dari program dapat memupuk semangat kekitaan. –SabahNewsToday