Pilih Bahasa

Luas ladang sawit negara dihadkan kepada 6.5 juta hektar

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kabinet bersetuju menghadkan jumlah keluasan ladang kelapa sawit di seluruh negara kepada 6.5 juta hektar sebagai satu langkah pengurusan hutan mampan.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata pada ketika ini jumlah keluasan ladang kelapa sawit negara ialah 90 peratus daripada had tersebut iaitu 5.85 juta hektar.

Teresa Kok menerima cenderamata daripada Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assafal P Alian. Turut kelihatan Setiausaha Tetap Kementerian, William Baya (kiri)
Gambar SNT/Chris Maskilone

“Kabinet bersetuju bahawa tidak akan ada lagi pembesaran ladang kelapa sawit di seluruh negara,” katanya apabila ditemui selepas perjumpaan dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta agensinya di Wisma Tun Fuad Stephens di sini hari ini.

Menurut Kok, Malaysia kini menghadapi masalah lebihan keluaran disebabkan pertelingkahan dengan Kesatuan Eropah yang mahu meluluskan undang-undang mengharamkan produk biodiesel sawit.

Negara Kesatuan Eropah menuduh Malaysia dan negara-negara pengeluar utama sawit tidak mempraktikkan sistem pengurusan hutan mampan.

“Oleh itu kita membuat strategi, walaupun industri ini penting bagi kita tetapi kita berhenti menanam.

“Mereka (Kesatuan Eropah) menuduh ladang-ladang kelapa sawit kita menyebabkan degradasi hutan. Tindakan kita ialah berhenti meluaskan ladang dan kita juga mengadakan penanaman semula pokok di hutan-hutan yang mengalami degradasi,” katanya.

Teresa Kok (tengah) bersama Assafal dan William serta ketua-ketua agensi dibawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri menunjukkan poster kempen “Sayang Sawitku” selepas perbincangan di Wisma Tun Fuad Stephens di sini hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

Bagi penanam kelapa sawit di Sabah, Kok berkata beliau telah bertemu dengan mereka dan “mereka faham.”

Syarikat-syarikat sawit turut bersetuju untuk berhenti menanam dan bertukar kepada tanaman lain memandangkan harga komoditi itu yang tidak menentu sekarang, katanya.

Dalam pada itu, Kok berkata kementeriannya juga telah membuat kajian kawasan yang akan ditanam dengan satu juta pokok di Sabah.

“Kajian telah selesai dan kemungkinan besar kawasan yang akan dipilih ialah di Lahad Datu,” katanya.

Menurutnya, beliau juga mengadakan perjumpaan dengan persatuan penanam kelapa sawit seperti Persatuan Penanam Malaysia Timur (EMPA) bagi membincangkan kempen terbaharu kerajaan iaitu ‘Sayangi Sawitku’.

Ini juga adalah salah satu strategi menangkis tuduhan negara Eropah terhadap hasil keluaran sawit negara.

Kok berkata kementerian turut meminta kerjasama daripada Kementerian Pelancongan Sabah agar menyampaikan mesej positif tentang komoditi sawit negara kepada pelancong-pelancong asing yang datang ke negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew diwakili oleh Pembantu Menteri Assafal P Alian dan dibantu Setiausaha Tetap William Baya dalam perjumpaan selama dua jam dengan Kok petang tadi.-SabahNewsToday