Pilih Bahasa

Luka Milunovic kembali ke Melaka Utd, Sabah buru import baharu

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah akan memanfaatkan jendela perpindahan pemain yang mula dibuka pada 2 Mei untuk mengisi kekosongan satu slot pemain import.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony mengesahkan bahawa Luka Milunovic tidak akan beraksi bagi pasukan Sabah pada pusingan kedua Liga Perdana nanti.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

Milunovic adalah antara pemain import baharu Sabah musim ini tetapi hanya sebagai pemain pinjaman dari pasukan Liga Super, Melaka United.

Surat pelepasannya daripada Safa berkuatkuasa hari ini.

“Buat masa ini kita akan cari sekurang-kurangnya satu pemain import baru bagi mengisi tempat Luka (Milunovic) yang akan kembali ke pasukan asalnya, Melaka United.

“Saya berharap kita akan dapat pemain import yang lebih baik dalam masa terdekat untuk memantapkan lagi pasukan menghadapi pusingan kedua,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Luka Milunovic dipanggil balik kelab asalnya, Melaka United. Gambar Fail SNT

Peter berkata sudah ada beberapa calon import yang berminat menyarung jersi Tambadau Sabah tetapi mereka akan diuji terlebih dahulu bagi memastikan pasukan dapat yang terbaik.

“Kalau untuk perlawanan Sabtu ini (4 Mei), ianya mungkin sudah terlalu suntuk tetapi kita akan cuba agar pasukan kita lengkap semula dengan (empat) pemain import sekurang-kurangnya pada perlawanan kedua pusingan kedua,” kata Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Ditanya sama ada akan ada lagi pengambilan pemain baru selepas ini, Peter berkata ia bergantung kepada keperluan pasukan dan rekomendasi pengurusan serta jurulatih.

“Kalau ada sebarang tindakan yang boleh memantapkan lagi pasukan termasuk menggugurkan dan mengambil pemain baru, ia wajar dipertimbangkan. Ini perkara biasa dalam bola sepak.

“Kita mahu yang terbaik buat pasukan terutama dalam mencapai sasaran utama kita musim ini iaitu naik ke Liga Super musim depan. Kita sudah separuh jalan ke arahnya dan saya berharap pasukan dapat meneruskan rentak baik sepanjang pusingan kedua ini,” katanya.

Peter berkata, sementara usaha dilakukan mendapatkan pemain import baru, tumpuan akan diberikan kepada perlawanan pertama pusingan kedua menentang Selangor United di Stadium Likas Sabtu ini.

“Saya fikir ketiadaan Luka (Milunovic) tidak menjejaskan pasukan walaupun kita mungkin belum dapat penggantinya Sabtu ini. Perlawanan terakhir (menentang UKM) pun kita bermain tanpa Luka dan menang (3-1).

“Oleh itu kita mengharapkan kemenangan itu dapat diteruskan. Saya yakin pasukan dapat melakukannya,” katanya.

Tiga import lain Tambadau Sabah ialah Park Tae Su (pertahanan) dan dua penyerang iaitu Luiz Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic.

Tambadau Sabah akan memulakan pusingan kedua di tangga ketiga selepas menamatkan pusingan pertama dengan 18 mata dari lima kemenangan dan  tiga seri (Sabah kalah dua lagi perlawanan) manakala UiTM di tangga kedua dengan 20 mata sementara JDT II mendahului dengan 24 mata.

Ditangga keempat ialah Terengganu FC II dengan 16 mata manakala Selangor United ditangga kelima dengan 14 mata.

Tempat ke Liga Super untuk pasukan dari Liga Premier diperuntukkan kepada dua pasukan teratas.-SabahNewsToday