Pilih Bahasa

MA63 harus dihormati dan bukan dipolitikkan: Shafie

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata Perjanjian Malaysia 1963 bukan “kontrak sosial” tetapi satu dokumen antarabangsa yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pembentukan Malaysia itu sendiri dan tidak seharusnya dipandang ringan.

Beliau berkata hak-hak Sabah dan Sarawak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 tidak boleh dan tidak sepatutnya dipolitikkan.

Mohd Shafie tiba di Parlimen untuk membahaskan Rang Undang Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Perjanjian Malaysia 1963 adalah satu satunya Warisan peninggalan bapa-bapa kemerdekaan yang mahukan kesejahteraan Malaysia berterusan. Perjanjian Malaysia 1963 adalah dokumen rasmi yang memberi legitimasi kepada kewujudan Sabah dan sekaligus pembentukan Malaysia itu sendiri. Perjanjian ini berbeza berbanding dengan “kontrak sosial” yang kerap di war-war di seluruh Negara.

“Perjanjian Malaysia 1963 adalah bersabit dengan Hak-Hak rakyat Sabah, ia bukan bahan politik yang boleh di percaturkan untuk mendapatkan kuasa,” Shafie berkata bila membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bacaan kali kedua untuk mengembalikan semula Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam Persekutuan Malaysia.

Setelah RUU tersebut dibentangkan minggu lepas, hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyusun semula pindaan itu untuk mengembalikan perkataan asal yang dikeluarkan apabila Perkara (Article) itu dipinda pada 1976.

Ketika menyokong pindaan yang disusun semula itu, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna memperingatkan Dewan bahawa pemimpin-pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Malaya menandatangani Perjanjian Malaysia 1963.

Namun, beliau berkata segala janji dan aspirasi rakyat Sabah tidak tertunai maka penting bagi hak-hak mereka dikembalikan semula.

“Kita tidak mahu selepas pembentukan Malaysia lebih dari 55 tahun, masih ada rakyat Sabah menggunakan kemudahan jalan raya yang usang untuk membawa pesakit dari kampung ke jalan raya berhampiran.

“Kita juga tidak mahu wujudnya sekolah-sekolah daif di luar bandar Sabah berbanding sekolah-sekolah selesa yang dinikmati di Kuala Lumpur

“Ini telah dijanjikan oleh bapa-bapa kemerdekaan namun setelah lebih 55 tahun membentuk Malaysia, kami di Sabah masih menggunakan prasarana yang sangat usang dan daif,” katanya.

Pindaan ini katanya, satu langkah bagi kita untuk mengembalikan hak-hak kita antara lain, seperti minyak dan pendapatan.

Sehubungan itu, beliau berharap tiada mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan pindaan berkenaan demi meraih keuntungan peribadi dan mendapatkan kuasa.-SabahNewsToday