Pilih Bahasa

MA63 JADI TUMPUAN SIDANG PARLIMEN MULAI ISNIN INI

Datuk VK Liew. – Gambar fail SNT

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Usaha mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka menjadi tumpuan utama persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14, bermula Isnin.

Ini susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Jumaat lalu, bahawa kerajaan pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas telah bersetuju untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan tersebut.

Liew, yang juga pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Kerja MA63, berkata pindaan perlembagaan itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini bagi menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi yang mempunyai hak sama rata.

Meskipun masih terlalu awal untuk menjangkakan perubahan yang bakal berlaku, keputusan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan itu adalah langkah pertama dan ia harus dilihat sebagai satu komitmen serius kerajaan Pakatan Harapan (PH) merealisasikan pelaksanaan MA63.

MA63 yang membawa kepada penubuhan negara Malaysia pada 16 Sept 1963, mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu yang mempunyai hak sama rata dengan Malaya (kini Semenanjung Malaysia).

Bagaimanapun, pindaan pada Perlembagaan Persekutuan pada 1976 menyebabkan status Sabah dan Sarawak diturunkan, masing-masing menjadi negeri ke-12 dan ke-13 dalam Malaysia.

Liew berkata pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 anggota Parlimen untuk diluluskan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dijadual merasmikan serentak persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi penggal ini pada jaml 10 pagi Isnin ini.

Dalam pada itu, persidangan Dewan Rakyat selama 20 hari sehingga 11 April ini menyaksikan kekuatan PH di Dewan Rakyat diperkukuhkan lagi dengan penghijrahan tujuh bekas anggota Parlimen UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada bulan lalu, menjadikan parti komponen PH itu kini mempunyai 22 kerusi.

Mereka ialah Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Perkembangan ini menjadikan kerusi kerajaan PH di Parlimen meningkat kepada 135 sekarang berbanding 121 kerusi semasa memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Pemilikan kerusi Parlimen parti komponen PH yang lain kekal iaitu PKR sebanyak 50 kerusi diikuti DAP (42) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan 11 kerusi.

Sejumlah 10 lagi kerusi Parlimen disumbangkan oleh parti politik Sabah yang menyokong PH iaitu sembilan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) dan satu oleh UPKO.

Barisan Nasional (BN) pula mempunyai 40 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak sebanyak 19 kerusi, PAS (18) dan Bebas seramai tujuh orang. Parti Bersatu Sabah, STAR dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masing-masing menpunyai satu kerusi.

Pada persidangan ini kali ini, enam akta yang berkaitan dengan keselamatan termasuk Akta Hasutan 1948 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 dijangka dibawa ke Parlimen untuk diteliti, sama ada untuk dipinda ataupun dimansuhkan.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga dilaporkan bercadang untuk membawa usul meminda Perlembagaan Persekutuan, bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Selain itu, di blok pembangkang, anggota Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dilantik menjadi Ketua Pembangkang yang baharu, menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO 

Antara isu yang dijangka panas kali ini termasuk kemelut kewangan Khazanah Nasional Berhad, skandal urus niaga tukar tanah milik Kementerian Pertahanan serta ‘perkahwinan baharu’ UMNO dan PAS.  

Urusan pertama sesi ini pada Selasa akan bermula dengan majlis angkat sumpah oleh anggota Parlimen Cameron Highlands yang baharu dipilih Ramli Mohd Nor.

Ramli merupakan Orang Asli pertama yang menjadi anggota Parlimen setelah memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 26 Jan lepas.

— BERNAMA