Pilih Bahasa

Madius ajak Orang Asal membudayakan kecemerlangan

KIULU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Orang Asal wajib membudayakan kecemerlangan dan meninggalkan sikap berpuas hati walau hanya ala kadar khususnya yang melibatkan status ekonomi keluarga.

Walaupun bukan semua, kata Madius masyarakat Kadazandusun secara umumnya sering tergolong sebagai suku kaum yang masih agak jauh ketinggalan dalam pelbagai sektor.

Upacara menuai padi sebagai simbol perasmian perayaan Tadau Kaamatan Upko Tuaran. Gambar SNT/Ihsan Upko Tuaran

“Masyarakat kita sangat berkemampuan; kita boleh sahaja maju dan gemilang dalam apapun juga aspek kehidupan. Ramai yang sudah terbilang; namun sikap tidak apa, kecenderungan untuk berpuas hati dengan yang seadanya wajar kita kikis,” tambah beliau.

Madius yang juga Presiden Upko dan Ahli Parlimen Tuaran seterusnya berkata, “sama ada kita akan berjaya ataupun tidak, ia banyak bergantung kepada sikap kita, dan diringi usaha yang komited serta bisikan doa. Mari menggapai semua itu supaya esok jauh lebih baik berbanding hari ini.”

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata demikian mengulas ucapan perasmiannya sempena Tadau Kaamatan Upko Tuaran di Dewan Serbaguna Kiulu di sini pagi tadi.

Beliau berkata penerima anugerah khas Tokoh Petani Daerah Tuaran tahun ini, Lumpihoi Yangking wajar dicontohi disebabkan ia membuktikan “kita sebenarnya sangat berkebolehan dan mampu progresif.”

Madius diiringi pengerusi penganjur, Ricky Chin (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Petani Daerah Tuaran 2019 kepada Lumpihoi Yangking. Gambar SNT/Ihsan Upko Tuaran

Lumpihoi, 89 mempunyai pencapaian yang membanggakan iaitu menanam padi sejak berumur lapan tahun sehingga kini (seluas tiga ekar, padi bukit dan sawah).

Biar pun ianya hanya menanam padi tetapi cukup untuk dijadikan inspirasi agar masyarakat terus berusaha dalam hidup sehingga mencapai sesuatu yang membanggakan dalam apa jua bidang diceburi, katanya.

Madius sememangnya memandang serius tentang isu-isu yang berkait dengan orang asal apatah lagi jika isu tersebut seperti yang terkandung dalam tujuh ideologi teras perjuangan Upko.

Komponen pertama ideologi perjuangan Upko sahaja sudah menjelaskan tentang perlunya masyarakat orang asal berjuang untuk mempertingkatkan identiti, membela maruah dan mempertingkatkan martabat suku bangsa kita, ujarnya.

Salah satu acara tradisi Kaamatan Upko Tuaran, pemotongan daging yang disempurnakan sendiri oleh Madius. Gambar SNT/Ihsan Upko Tuaran

Madius berkata senario ini menunjukkan bahawa sudah tiba masanya orang asal perlu benar-benar menyahut cabaran ini dan memulakan budaya kecemerlangan tidak kira dalam apa juga bidang.

Turut hadir pada perayaan Kaamatan Upko Tuaran 2019 itu ialah Tan Sri Bernard Dompok, Presiden Kehormat Upko, Datuk Abidin Madingkir, Adun Paginatan, para Ahli Majlis Tertinggi Upko, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli,  Joseph Bangguan serta Setiausaha Eksekutif Majlis Daerah Tuaran Jackley Gielbert.-SabahNewsToday