Pilih Bahasa

Madius ajak rakyat sokong kerajaan baharu demi corakkan kemakmuran

Madius Tangau. – Gambar file SNT

TUARAN, 20 Ogos  — Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, mengajak rakyat di negara ini bangkit bersama dengan penuh azam dan tekad menyokong kerajaan baharu demi mencorakkan kemakmuran untuk dinikmati bersama.

Beliau berkata, selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2019 iaitu Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih, diharapkan mampu memupuk semangat cintakan negara, mengeratkan jalinan perpaduan serta menjadikan Malaysia negara maju dengan rakyat memiliki jati diri dan berintegriti.

“Justeru, mari bersama-sama kembali kepada prinsip rukun negara yang menerapkan nilai murni berasaskan kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kesetiaan kepada raja dan negara selain bersikap toleransi antara satu sama lain dan mempunyai semangat patriotsime yang jitu supaya kita dapat hidup bersatu padu tanpa sengketa,” katanya.

Beliau, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat daerah Tuaran, di perkarangan Dewan Tun Hamdan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka, Pegawai Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair dan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Joanna Sue Henley Rampas.

Sambutan itu membabitkan 27 kontinjen pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Tuaran, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, turut dimeriahkan acara senamrobik, larian Sayangi Malaysiaku sejauh 3.77 kilometer dan pertandingan mewarna.

Madius turut melepaskan konvoi Kembara Merdeka membabitkan 55 kenderaan dari Kota Kinabalu menuju Kota Belud dan Kudat.

Beliau berkata, sebagai negara berdaulat dan merdeka, Malaysia berjaya melepasi pelbagai fasa penting, walaupun sebelumnya ada pihak meramalkan negara ini tidak akan kekal kerana akan berlaku kekacauan kerana hubungan kaum.

Bagaimanapun, negara ini berjaya membuktikan semua pendapat itu tidak tepat, apabila banyak kejayaan dan kemajuan dalam pelbagai bidang dicapai sepanjang tempoh kemerdekaan.

“Malaysia berjaya membuktikan ia dapat mengekalkan kestabilan politik negara yang menjadi asas kepada pembinaan negara yang kukuh dan mantap,” katanya.

Sehubungan itu, Madius berkata, Malaysia sebuah negara pelbagai kaum yang unik, menjadikan rakyatnya istimewa dan sebagai aset yang perlu dijaga, pupuk dan pelihara demi kelangsungan kemerdekaan negara.

— BERNAMA