Pilih Bahasa

Madius beri keterangan kepada polis

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau memberikan keterangan kira-kira tiga jam kepada pihak polis hari ini, berikutan kenyataannya didakwa menimbulkan unsur kebimbangan dalam kalangan orang awam.

Madius berkata kenyataan di laman sosial Facebook miliknya yang dimuatnaik pada 21 Julai lalu tentang pengislaman di Tambunan suatu ketika dahulu tidak merujuk kepada agama lain malahan ia hanya merujuk kepada seseorang individu.

Madius menunjukkan salinan memorandum yang telah beliau hantar pada awal tahun 1980an kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Beliau berkata ia juga bukan bertujuan memperlihatkan rasa tidak hormat kepada agama lain khususnya di Sabah.

“Kenyataan saya berkaitan pengislaman beramai-ramai di Tambunan sebelum ini hanyalah untuk peringatan buat semua pihak tentang kejadian yang pernah terjadi di negeri ini.

“Sewaktu bergelar Pengerusi Kumpulan Tindakan Sosial Pelajar Katolik Sabah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) sekitar 38 tahun yang lalu, saya ada menerima satu memorandum yang ditandatangani oleh 2,000 individu termasuk dari Tambunan berhubung tindakan pengislaman beramai-ramai itu untuk diserahkan kepada Perdana Menteri.

“Memorandum berkenaan saya serahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Madius ketika sidang media di pejabatnya berkaitan kenyataanya di laman sosial baru-baru ini. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Bagaimanapun, disebabkan perkara ini masih dalam siasatan polis, ia tidak boleh dedahkan kepada umum,”  katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Dalam pada itu, Madius berkata beliau dimaklumkan terdapat sebanyak 33 laporan polis dibuat berkaitan kenyataan terbabit dan ia menjadi salah satu sebab beliau menjemput pihak polis mengambil keterangannya serta menyerahkan dokumen terbabit selain menjelaskan situasi sebenar.

Menurutnya,  beliau percaya pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan  adil.

Sementara itu, beliau berkata selaku Presiden Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), dirinya  memberikan menyokong serta mahu  keharmonian antara kaum dan agama sentiasa dijaga dengan baik.

“Saya juga menubuhkan Biro Agama dan Keharmonian Kaum untuk parti Upko pada 2014 sebagai usaha mempertingkatkan lagi toleransi antara agama dalam kalangan ahlinya,” katanya. -SabahNews Today