Pilih Bahasa

MADIUS GESA PERSATUAN DAN NGO BANTU BANGUNKAN EKONOMI SABAH

Oleh Chris Maskilone


TAMPARULI: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengesa semua persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah bersama-sama membantu membangunkan ekonomi negeri terutama menerusi sektor perindustrian dan perlancongan.

Sabah dijangka akan lebih maju ke depan dan bertumbuh pesat di bawah kerajaan baharu memandangkan kepesatan pembangunan industri pelancongan dan perindustrian, katanya.

Madius (tengah) bergambar dengan wakil sembilan persatuan dan NGO penganjur Pesta Ang Pow dan Tahun Baharu Cina Tuaran. Gambar SNT/Ehsan KPP

Beliau berkata demikian semasa perasmian Pesta Ang Pow dan Tahun Baharu Cina peringkat daerah Tuaran di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli kelmarin.

Kehadiran begitu ramai pelancong ke Sabah sejak akhir-akhir ini ditambah pula dengan adanya hampir 70 penerbangan terus dari China ke Sabah setiap hari menunjukkan betapa pesat pembangunan industri pelancongan, katanya.

Madius menyampaikan sumbangan kepada salah satu badan dalam majlis tersebut. Gambar SNT/Ehsan KPP

Menurut beliau, di daerah Tuaran sahaja beliau telah menerima beberapa cadangan dari pelabur dan pengusaha hotel bertaraf lima bintang untuk membina hotel peranginan bagi menampung kedatangan pelancong yang begitu ramai.

Disamping itu, Madius juga mengesa kaum Tionghua terutama di daerah Tuaran supaya melabur di KKIP Sdn Bhd.

Madius beramah mesra dengan para pengunjung termasuk pelancong luar negara di sambutan perayaan Tahun Baharu Cina peringkat Tuaran. Gambar SNT/Ehsan KPP

Katanya KKIP telah menyediakan tanah-tanah dan menawarkan beberapa pakej menarik termasuk insentif untuk pelabur yang ingin membuka kilang disitu.

Sementara itu, lebih 6,000 penduduk sekitar Tamparuli dan Tuaran telah datang ke majlis tersebut yang dianjurkan oleh sembilan persatuan dan NGO kaum Tionghua Tuaran.

Madius dipeluk oleh salah seorang pengunjung di majlis tersebut. Gambar SNT/Ehsan KPP

Acara yang bermula seawal jam 3.30 petang menyediakan lebih 20 jenis hidangan makanan tempatan percuma kepada pengunjung termasuk dua tan durian percuma.

Di sebelah malam, pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan tarian singa, persembahan nyayian dan silap mata.

Dalam majlis tersebut, Madius turut memberi sumbangan berjumlah RM50,000 kepada persatuan, NGO dan badan-badan kebajikan sekitar daerah Tuaran.

Beliau juga menyerahkan angpow kepada warga emas dan bekas guru-guru daerah Tuaran di samping menyerahkan sumbangan bantuan kepada sekolah-sekolah dan murid cemerlang.

Acara marathon Pesta Ang Pow dan Tahun Baru Cina tersebut berlangsung selama 8 jam berakhir pada jam 10.30 malam.-SabahNewsToday