Pilih Bahasa

Madius kemuka usul pindaan RUU perlembagaan perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas

Oleh Chris Maskilone

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengemukakan usul supaya Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) Fasal 1(2) dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas terlebih dahulu sebelum dibacakan buat kali kedua esok.

Madius yang juga Presiden Upko menegaskan proses itu wajib seandainya Kerajaan Persekutuan betul-betul serius untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.

Madius Tangau. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Justeru, saya memohon berlandaskan Peraturan Mesyuarat, Perkara 54(1), supaya RUU itu dirujuk dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Parlimen pada petang Ahad manakala surat asal dihantar kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat pada pagi tadi (Isnin),” ujar Madius.

“Pembentangan Rang Undang-Undang tersebut yang dikatakan dibuat secara tergesa-gesa telah menerima pelbagai reaksi negatif daripada ahli ahli Dewan dan juga semua lapisan masyarakat terutama di Sabah dan Sarawak.

“Taklimat sejurus selepas pembentangan yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan semua ahli-ahli Dewan Rakyat telah di jemput hadir, membuktikan bahawa pelbagai cadangan dan persoalan berbangkit,” kata beliau.

Cadangan pindaan itu telah dibentangkan untuk Bacaan Pertama oleh Datuk Liew Vui Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 4 April lalu.

Madius menerangkan, “wajar diingat, niat Jawatankuasa Pemandu Kajian Perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, yang di pengerusikan oleh Perdana Menteri yang telah mencadangkan dan di terima oleh Jemaah Kabinet Persekutuan, bahawa Fasal 1(2) hendaklah dipinda untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai equal partner dalam Persekutuan Malaysia dalam masa terdekat.”

“Walau bagaimana pun, tidak ada deraf Pindaan dibentangkan dalam Jawatankuasa Pemandu untuk memperincikan perkataan-perkataan yang digunakan dalam cadangan Pindaan tersebut,” tambah beliau yang turut menganggotai Jawatankuasa Pemandu tersebut.

Madius turut menggesa Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul tersebut memandangkan implikasi dan kesan besar pindaan inibterhadap urustadbir Kerajaan Malaysia.- SabahNewsToday