Pilih Bahasa

Madsha bersara awal ceburi penternakan lebah kelulut

TUARAN, 29 Julai (Bernama) — Keputusan bersara awal daripada perkhidmatan awam empat tahun lepas semata-mata untuk menceburi penternakan lebah kelulut ternyata berbaloi, apabila perusahaan dijalankan kini membuahkan hasil lumayan.

Madsha Mohd Dani, 59, pesara Jabatan Pertanian dari Kampung Baru Selaud di sini mengambil keputusan meninggalkan perkhidmatan di jabatan itu pada usia 56 tahun pada 2016, kerana ingin bergiat sepenuh masa dalam bidang berkenaan.

Madsha sedang mememeriksa sarang lebah kelulut. Gambar Bernama

Sebelum bersara, saya sekeluarga sudah memulakan perusahaan itu sejak 2014, namun hasilnya tidak seberapa memandangkan kurang tumpuan terhadap perusahaan itu kerana kekangan masa bekerja.

“Apabila mencapai usia 56 tahun, saya memutuskan bersara awal supaya dapat memberi tumpuan terhadap perusahaan keluarga itu sepenuh masa,” katanya kepada Bernama di sini.

Selepas hampir empat tahun mengusahakan ladang ternakan lebah kelulut sepenuh masa yang mengandungi lebih 100 sarang di Kampung Baru Seluad, perusahaan itu membuahkan hasil lumayan kepada keluarganya.

“Jika pada awal 2014 pendapatan hasil jualan madu lebah kelulut tidak seberapa, kini perolehan daripada perusahaan itu berlipat ganda,” katanya.

Madsha berkata, madu lebah kelulut boleh dituai dalam tempoh tiga bulan, dengan setiap sarang berupaya mengeluarkan hasil setengah kilogram, manakala penuaian dilakukan secara berperingkat-peringkat memastikan hasil tidak putus.

“Madu asli lebah kelulut yang dilabelkan sebagai keluaran Kampung Baru Selaud, Tuaran itu dijual pada harga RM40 setiap 200 miligram,” katanya.

Kebanyakan pelanggan yang ingin mendapatkan bekalan madu asli lebah kelulut datang sendiri ke ladang ternakannya di Kampung Baru Selaud.

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran turut membantu memasarkan hasil madu kelulut dari ladang itu, memudahkan penggemar madu asli mendapatkan bekalan tanpa perlu mengunjungi ladang.

“Saya sudah membelanjakan lebih RM10,000 wang sendiri untuk membina lebih 100 sarang lebah kelulut sejak memulakan perusahaan itu pada 2014 dan bercadang menambahnya jika ada modal,” katanya.

Sehingga kini, persaingan dalam penternakan lebah kelulut kurang memandangkan tidak ramai pengusaha di daerah ini mengambil peluang menceburi bidang itu.

Madsha berkata kelebihan minum madu asli lebah kelulut dapat membantu menyembuhkan batuk, demam, luka serta ruam panas pada tubuh badan kanak-kanak termasuk bayi.

Sehubungan itu, beliau melihat penternakan lebah kelulut mempunyai masa hadapan cerah, asalkan pengusaha yang menceburi bidang itu mempunyai disiplin serta kaedah pengurusan ladang yang betul.

— BERNAMA