Pilih Bahasa

Madu Tantadan berpotensi jadi salah satu komoditi utama Sabah

TUARAN : Madu Tantadan atau Kelulut mempunyai potensi tinggi untuk dikembangkan menjadi salah satu komoditi utama negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mensasarkan agar pengeluaran madu di daerah Tuaran khasnya Sabah amnya akan meningkat dalam masa terdekat.

Madius bersama beberapa usahawan wanita melihat beberapa produk berasaskan madu tantadan yang dipamerkan dalam kursus tiga hari itu. Gambar SNT/Ihsan KP&P

Madius menggalakkan agar para usahawan di Sabah menggunakan nama Madu Tantadan berbanding Kelulut.

Ini disebabkan konotasi kelulut membawa makna negatif dalam beberapa suku masyarakat di Sabah manakala tantadan mempunyai nilai penjenamaannya yang tersendiri bagi madu kelulut di Sabah, katanya.

Beliau berkata demikian semasa perasmian penutupan kursus Asas Industri Madu Tantadan yang dianjurkan oleh Majlis Usahawan Upko Tuaran dibawah kepimpinan Rayner Ebi dengan kerjasama Sedcovest Holdings Sdn Bhd selama tiga hari bermula 24 April dan berakhir pada Jumaat di Dewan Serbaguna Tamparuli.

“Kita tidak boleh lagi bertahan dengan hanya satu sumber pendapatan,” ujar Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

“Sekiranya kita bergantung dengan hanya satu sumber dan ianya berhadapan dengan masalah maka kita akan susah.”

Menurutnya terdapat banyak agensi kerajaan yang boleh membantu menganjurkan program serta menyediakan dana ke arah pembudayaan industri dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, Madius menggalakkan rakyat agar berusaha menyertai lebih banyak program untuk mempelajari ilmu baharu bagi mempelbagaikan sumber pendapatan.

“Jadi, kalau kita sudah ada ilmu sudah pasti boleh membantu kita untuk maju. Bantulah diri kamu sebelum meminta dibantu. Siapa yang mahu bantu kalau bukan diri sendiri,” tambahnya.

“Semasa saya menjadi Menteri Mosti terdapat satu teknologi nano dibawah kelolaan Nano Malaysia Berhad yang membantu meningkatkan pengeluaran madu. Kita boleh memanfaatkan teknologi ini,” ujarnya.

Sementara itu, penceramah jemputan kursus dan seorang usahawan madu George Clinton yang mempunyai pengalaman hampir 25 tahun dalam industri madu memberitahu permintaan madu tantadan di Sabah mencecah 5 tan sebulan.

Menurutnya, tidak mustahil Malaysia boleh menjadi pengeluar utama madu tantadan kerana negara ini beriklim khatulistiwa dan sangat sesuai bagi pengeluaran madu yang banyak dan berkualiti.

“Setakat ini, belum ada lagi pusat pengumpulan bagi usahawan yang ingin menjual madu tantadan ini tetapi Koperasi Pembangunan Desa merupakan pembeli tunggal yang membeli secara pukal dengan harga berpatutan,” tambah George.

Hampir 100 orang kebanyakan dari Tuaran dan selebihnya dari Beaufort, Telupid, Keningau, Sook dan Penampang telah menyertai kursus itu.-SabahNewsToday