Pilih Bahasa

Mafi, Kepkas akan pergiat kerjasama dalam agro-pelancongan

Oleh Alfred Petrus

Junz (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Kategori Musang King. – Gambar SNT/Ihsan Mafi

TENOM: Aktiviti agro-pelancongan akan dipergiatkan melalui kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Infustri Makanan serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Junz Wong berkata program-program berasaskan pertanian dan makanan yang berimpak tinggi juga boleh dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri.

“Sesuailah dengan Tahun Melawat Tenom tahun hadapan dengan mengadakan semula program seumpama ini. Kejayaan penganjuran program ini juga sesuai untuk dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Sabah.

“Pada tahun hadapan, mungkin kita akan bekerjasama dengan Kepkas (Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) yang mana bukan sahaja program berasaskan makanan dan buah-buahan tempatan, tetapi juga memperkenalkan lokasi-lokasi pelancongan di Tenom,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Pelancaran Pesta Durian dan Buah-buahan Tropika Peringkat Daerah Tenom, di Tenom Coffie Valley di sini hari ini.

Dengan memasukkan program itu ke dalam kalendar pelancongan negeri, Junz betkata ia sekali gus dapat mempromosikan makanan dan buah-buahan tempatan setiap tahun.

Beliau juga menyatakan bahawa kementeriannya ada memasukkan cadangan ke dalam pelan tindakan Mafi untuk mewujudkan satu pusat yang dikenali sebagai Bazar Antarabangsa.

Jelasnya pusat tersebut boleh menjadi platform bagi petani, nelayan mahupun penternak untuk menjual hasil mereka sama seperti di luar negaram. – SabahNewsToday