Pilih Bahasa

MAFI SASAR 25,000 EKAR TANAMAN KELAPA DI SABAH BAGI WUJUDKAN KILANG MEMPROSES KELAPA

Oleh Alfred Petrus

Junz (enam kiri) melawat kebun biji benih kelapa di Stesen Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun. Gambar SNT/Ehsan MAFI

SANDAKAN: Penanaman kelapa mempunyai potensi yang amat baik sebagai sumber pendapatan baru kepada petani.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Junz Wong berkata permintaan benih kelapa kini semakin meningkat disebabkan peningkatan permintaan terhadap produk hiliran kelapa dari dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, kementeriannya menyasarkan untuk mencapai keluasan tanaman kelapa kepada 25,000 ekar untuk membolehkan kilang pemprosesan kelapa bertapak di Sabah.

“Kita kena teruskan usaha untuk mengwujudkan lagi pusat pengeluaran benih bagi menampung keperluan benih kelapa.

“Pengeluaran benih tanaman dari baka yang baik adalah perlu bagi memastikan hasil keluaran dapat memenuhi keperluan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan lawatan kerjanya ke Stesen Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Junz berkata usaha juga akan diambil agar kerajaan persekutuan memberikan peruntukan yang diperlukan dan secukupnya bagi menampung penyelidikan dan pembangunan pertanian secara keseluruhannya.

Beliau turut menyeru agar semua kakitangan Stesen Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun terus berkerjasama dalam usaha menggalakkan pengeluaran makanan  dan memastikan maklumat sampai kepada semua lapisan kakitangan bagi penyampaian terbaik kepada kumpulan sasar. -SabahNewsToday