Pilih Bahasa

Mafry ganti Park galas tugas pertahanan skuad Tambadau

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jelius (dua dari kiri) ketika sesi latihan skuad Tambadau menjelang pertemuan dengan Pulau Pinang malam ini. – Gambar SNT/Ihsan Media Safa

KOTA KINABALU: Ketiadaan pemain import, Park Tae Su dalam pasukan Sabah apabila melayani kunjungan Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana di Stadium Likas malam ini (30 Mac) bukan masalah utama buat anak buah Jelius Ating.

Jelas Ketua Jurulatih itu kekosongan tempat Park di barisan pertahanan skuad Tambadau sebaliknya dijangka bakal diisi oleh pemain tempatan, Mafry Balang.

Park, pemain dari Korea Selatan berdepan penggantungan satu perlawanan gara-gara mengumpul tiga kad kuning sepanjang perlawanan Liga Perdana setakat ini.

“Mafry merupakan pilihan utama untuk mengisi tempat Park dan saya percaya beliau mampu melaksanakan tugas dengan baik terutama dengan pengalaman yang ada padanya selaku pemain paling senior dalam pasukan.

“Kami berlatih tanpa Park dan saya tidak nampak sebarang isu mengenainya. Saya percaya dengan kemampuan semua pemain yang ada, kita tidak boleh bergantung kepada seorang pemain sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Para pemain Sabah gigih melakukan latihan sebagai persiapan pertemuan dengan Pulau Pinang di Stadium Likas. – Gambar SNT/Ihsan Media Safa

Jelius menjelaskan kekuatan skuad Tambadau sebenarnya berpaksikan kepada kekuatan mereka beraksi sebagai sebuah pasukan.

DitanyaMengenai sama ada jurulatih itu mahu mengekalkan kesebelasan utama yang beraksi dalam perlawanan sebelum ini, Jelius tidak menafikan pilihan sama dibuat termasuk menyenaraikan Luiz Carlos Junior yang disahkan pulih daripada kecederaan otot paha.

Jelius berkata Mafry dijangka akan bergandingan dengan ketua pasukan Rawilson Batuil menggalas tugas pertahanan utama dan dibantu Randy Baruh Samson serta Dendy Lowa di kiri dan kanan.

Jentera tengah digerakkan Mohd Azizan Nordin bersama Sabri Sahar dan Maxsius Musa di bahagian sayap sementara Luka Milunovic sedikit di depan membantu jentera serangan yang disandarkan kepada gandingan Junior dan Rodoljub Paunovic.

Rozaimie Rohim pula dijangka akan terus memikul tugas selaku penjaga gol utama.

Tiket bagi menyaksikan perlawanan itu akan dijual di kaunter tiket Stadium Likas bermula jam 10 pagi Sabtu.

Tiket dijual dengan harga RM25 untuk kawasan tempat duduk berbumbung dan RM15 untuk kawasan tempat duduk terbuka. – SabahNewsToday