Pilih Bahasa

Maggi meriahkan Pesta Kaamatan melalui pertandingan ‘Jom Masak & Menang Bersama Maggi’

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kemeriahan Pesta Kaamatan yang bermula pada 1 Mei ini bakal dimeriahkan dengan aktiviti-aktiviti anjuran Maggi seperti pertandingan dan demonstrasi memasak di Sabah.

Tahun ini Maggi merancakkan suasana perayaan Pesta Kaamatan dengan pertandingan `Jom Masak & Menang Bersama Maggi’, mulai 1 Mei hingga 30 Jun ini.

Rakam (tengah) dan Quek Teng Hiong (dua dari kanan) menunjukkan poster yang memaparkan hadiah utama untuk dimenangi pertandingan `Jom Masak & Menang Bersama Maggi’ di 1Borneo Hypermall. – Gambar SNT/Ihsan Maggi Malaysia

Pelancaran pertandingan `Jom Masak & Menang Bersama Maggi’ di 1Borneo Hypermall pada hari ini disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada ​Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Rakam Sijim.

Rakam berkata usaha Maggi untuk mengadakan pertandingan itu sempena dengan Pesta Kaamatan harus dipuji kerana acara itu boleh mendedahkan adat dan budaya kaum bumiputera Sabah kepada pengunjung dalam dan luar negara.

“Perayaan dan aktiviti kebudayaan seperti Pesta Kaamatan memainkan peranan yang besar dalam membina perpaduan sosial dan mengeratkan hubungan antara generasi, terutaman ketika ahli keluarga dan saudara-mara datang bersama untuk merayakan warisan budaya mereka dengan menyediakan banyak lauk istimewa untuk makan besar.

“Maggi telah menjadi jenama makanan yang menjangkau generasi bagi seisi rumah, dan telah menjadi sinonim dengan masakan Malaysia,” katanya semasa pelancaran pertandingan tersebut.

Ches Muluk (kanan) dan dua wakil Nestle membantu Rakam (dua dari kanan) semasa demonstrasi masakan sempena pelancaran `Jom Masak & Menang Bersama Maggi’ di 1Borneo Hypermall. – Gambar SNT/Ihsan Maggi Malaysia

Sementara itu Pengurus Cawangan Nestle Sabah, Quek Teng Hiong berkata para peserta berpeluang untuk memenangi trak Limited Edition Isuzu D-Max bernilai RM136,000, hadiah wang tunai, peralatan dapur sebagai hadiah mingguan sepanjang tempoh peraduan, dan kad petrol bernilai RM100 untuk setiap 1,000 peserta yang layak.

Beliau berkata pertandingan Jom Masak & Menang Bersama Maggi merupakan acara tahunan Maggi yang kini memasuki tahun yang kelima.

“Sejak permulaan penganjurannya pada 2015 khasnya untuk pelanggan-pelanggan Maggi di Sabah dan Sarawak sempena perayaan Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak, kami telah berusaha untuk menjadikan setiap edisi pertandingan ini lebih besar dan istimewa berbanding dengan tahun sebelumnya,” katanya.

Rakam (tengah) dan Quek Teng Hiong (dua dari kanan) semasa pelancaran `Jom Masak & Menang Bersama Maggi’ di 1Borneo Hypermall. – Gambar SNT/Ihsan Maggi Malaysia

Katanya Maggi juga akan menjalankan 12 jerayawara yang menarik tahun ini sebelum pertandingan akhir yang akan diadakan pada Julai ini dan pelanggan boleh menikmati menikmati kemunculan khas oleh Cruiser Era FM di jerayawara terpilih di seluruh Sabah.

Pelanggan boleh mendapatkan hadiah Maggi eksklusif dengan membeli produk Maggi bernilai RM25 semasa jerayawara yang istimewa itu nanti.

Untuk maklumat lanjut mengenai cara anda boleh memasuki dan memenangi hadiah dalam pertandingan ‘Jom Masak & Menang Bersama Maggi’ lawati www.maggi.com.my atau halaman Facebook di www.facebook.com/MaggiMalaysia. – SabahNewsToday