Pilih Bahasa

Mahasiswa perlu manfaatkan peluang belajar di Menara Gading – Munirah

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Para mahasiswa perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk menikmati alam kehidupan kampus di menara gading dengan sebaiknya.

Munirah (tengah) menerima cenderahati daripada Prof. Dr. Taufiq Yap (dua kanan). Turut kelihatan Prof Madya Dr Lai Yew Meng (tepi kiri), Mohd Raffie (dua kiri) dan Prof Dr. Ismail Ali (tepi kanan). Gambar SNT/Ihsan UMS

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESSTEC) Malaysia, Isnaraissah Munirah Majilis berkata berada di universiti bukan setakat untuk belajar ilmu akademik tetapi ia merangkumi peningkatan kemahiran insaniah melalui keterlibatan dalam pelbagai aktiviti anjuran universiti.

“Semasa saya menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) saya terlibat aktif dengan aktiviti-aktiviti berpersatuan seperti menjadi anggota biro dalam Majlis Perwakilan Pelajar, ahli jawatankuasa dalam penganjuran Tamu Gadang (Pesta Konvokesyen) dan pelbagai program yang lain.

“Saya sangat seronok menjalani kehidupan kampus kerana bagi saya, ilmu itu bukan setakat hanya diperoleh dari buku akademik tetapi juga melalui pengalaman-pengalaman dalam keterlibatan dalam program-program sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Jejak Alumni anjuran Pusat Kerjaya dan Alumni (PKA) UMS, di sini.

Menurut Munirah, keputusan akademik semata-mata tidak mampu menjanjikan kemajuan, pekerjaan atau kedudukan pada masa hadapan.

Beliau percaya ia juga ditentukan oleh keterampilan, personaliti, dedikasi yang disifatkannya amat penting dan tidak dapat dibeli oleh wang ringgit.

“Saya sangat bertuah kerana di UMS saya diajar dan dididik oleh para pensyarah yang sangat dedikasi yang bukan sahaja mengajar tentang kursus pengajian tetapi juga mengajar tentang aspek kehidupan.

“Saya secara tidak langsung belajar asas kehidupan seharian, bagaimana untuk berinteraksi, membina jaringan komunikasi, sekali gus meningkatkan pembangunan diri yang akhirnya mempu diaplikasi untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Sesungguhnya berada di universiti ini adalah satu pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila,” jelas Alumni Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan UMS itu yang kini juga dalam proses penyiapan akhir pengajian Sarjana Kejuruteraan Minyak dan Gas di universiti tersebut.

Mengulas lanjut, Munirah yang juga Ahli Parlimen Kota Belud turut berkongsi pandangan peribadi tentang kebolehpasaran graduan pada masa kini.

“Selain keputusan akademik, personaliti dan kemahiran berkomunikasi yang baik, saya juga mengalakkan para graduan untuk cuba mengikuti kursus-kursus atau taklimat-taklimat lain selepas tamat pengajian termasuk menyertai konvensyen di peringkat antarabangsa. Ia boleh membina perspektif lain untuk kita menilai tentang perkara boleh ditambah untuk meningkatkan dalam kebolehpasaran graduan.

“Saya juga menggalakkan para graduan mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) kerana ini merupakan data yang sangat penting dan diperlukan untuk melihat ke manakah graduan universiti selepas tamat pengajian.

“Data ini bukan sahaja berguna kepada universiti tetapi kepada negara supaya kerajaan juga dapat sama-sama melihat, menilai dan memperbaiki perkara yang perlu diperbaiki, serta melihat peluang yang boleh dibuka kepada mereka yang telah tamat pengajian,” tambah Munirah.

Turut hadir pada program itu ialah Naib Canselor UMS, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin; Pengarah PKA, Prof Madya Dr Lai Yew Meng; Timbalan Pengarah PKA, Mohd Raffie Haji Janau dan Prof Dr. Ismail Ali.

Sementara itu, Mohd Raffie berkata Program Jejak Alumni bertujuan menjejaki sekali gus mengekalkan hubungan dengan alumni UMS yang berjaya dalam kerjaya.

“Ia juga sebagai medan perkongsian pengalaman dan pandangan bagi memberi inspirasi kepada mahasiswa dan alumni UMS yang lain serta dalam masa yang sama boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UMS,” katanya. -SabahNewsToday