Pilih Bahasa

Mahasiswa Sabah berpakaian tradisi raikan Aidilfitri di Kaherah

Oleh Zakaria Damit

KAHERAH: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wisma Yayasan Sabah di sini meriah dengan kehadiran mahasiswa Sabah lengkap berpakaian tradisi suku masing-masing.

Lebih 250 orang tetamu menghadiri majlis bermula jam 7 malam itu yang dihadiri Pegawai Atase Pendidikan Sabah Al-Fadhil Ustaz Hafiz Datuk Dr. Hamzah yang juga selaku, Pegawai Tadbir Kanan, Wisma Yayasan Sabah di Kaherah bersama ahli keluarganya.

Para tetamu bergambar kenangan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wisma Yayasan Sabah Kaherah. Gambar SNT/Ihsan BKPSM

Turut hadir memeriahkan majlis itu,  Menteri Kedutaan Kaherah-Mesir Shahabudeen Adam Shah dan Pengarah Education Malaysia Egypt, Aizal Anual.

Sementara itu, Yang Di-Pertua  Badan Kebajikan Penuntut Sabah di Mesir (BKPSM) Ahmad Hamdie ketika dihubungi Sabahnewstoday.com berkata penganjuran majlis rumah terbuka ini merupakan acara tahunan membabitkan BKPSM dengan kerjasama Pejabat Wisma Yayasan Sabah Kaherah.

“Tahun ini kita buat kelainan sedikit kerana ada kalangan tetamu memakai beberapa pakaian tradisi mengikut suku kaum masing-masing.

Hafiz Hamzah bersama keluarga memakai pakaian tradisi Bajau Semporna sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri. Gambar SNT/Ihsan BKPSM

“Ini secara tidak langsung mengingatkan seolah-olah mereka  berada di kampung halaman mereka sekaligus merayakan aidilfitri bersama-sama dengan sanak kaum keluarga,” katanya.

Ahmad berkata kehadiran beberapa pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Ikatan Mahasiswa Sarawak Mesir serta Badan Kebajikan Penuntut Negara Brunei Darussalam di Kaherah menunjukkan seperti berada di tempat sendiri.

Hafiz (berdiri kanan) bergambar kenangan bersama Aizal Anual (berdiri kiri) di majlis tersebut. Gambar SNT/Ihsan BKPSM

“Inilah keunikkan kita di sini, pelbagai suku kaum dapat disatukan melalui perayaan begini. Mungkin perasan sedih dapat terubat sedikit apabila mengingatkan kampung halaman di musim perayaan,” katanya.-SabahNewsToday