Pilih Bahasa

MAGIS MAHER ZAIN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sememangnya kemampuan penyanyi lelaki antarabangsa kelahiran Lubnan, Maher Zain dalam mengalunkan lagu berunsur ketuhanan serta kerohanian tidak dapat disangkal lagi.

Sebut sahaja lagu Insha Allah, The Chosen One, For The Rest of My Life, One Day dan Number One For Me, pasti semuanya menjadi siulan penggemar muzik tempatan mahupun seluruh dunia.

Maher Zain ketika membuat persembahan pada konsert Maher Zain Malaysia Tour 2019 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Hadir di Sabah buat julung kali sempena siri Konsert Jelajah Malaysia Maher Zain 2019, kedatangan penyanyi mula mencipta nama menerusi lagu Insha Allah itu dinantikan ribuan peminat yang hadir bagi menonton persembahannya secara dekat, baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Maher Zain membuat kejutan dengan muncul daripada belakang penonton sebelum membuka tirai konsert jelajah menerusi lagu Good Day dan Radhitu Billahi Rabba.

Menyanyikan lebih 20 buah lagu hitz terbaiknya, penghibur berusia 37 tahun berkenaan sempat bertanyakan khabar semua penonton yang hadir dalam Bahasa Melayu membuatkan peminat bersorak kagum dengan kebolehannya.

Maher Zain dengan gaya tersendiri memukau penonton dalam konsert Maher Zain Malaysia Tour 2019 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Maher yang sudah mengeluarkan tiga album seperti Thank You Allah, Forgive Me dan One meneruskan persembahan istimewa itu melalui dendangan lagu Assalamu Alayka serta I’m Alive nyanyian asal duet bersama penyanyi Pakistan, Atif Aslam.

Pentas konsert jelajah itu semakin hangat tatkala Maher menyampaikan lagu True Love, Palestine Will Be Free dan One Day.

Ruang utama Dewan Canselor UMS bagaikan lautan cahaya tatkala hampir semua peminat yang datang menghidupkan lampu telefon bimbit masing-masing sebagai tanda sokongan di atas kejayaan persembahannya itu.

Sebahagian penonton yang hadir pada konsert Maher Zain Malaysia Tour 2019 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Suasana giat gamat apabila Maher Zain menyanyikan ‘killer song’ Insya Allah yang banyak menaikkan namanya dalam industri hiburan dunia sejak 10 tahun lalu.

Dinyanyikan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris, ramai penggemarnya beranggapan umpama tidak lengkap persembahan penghibur bernama Maher Zain sekiranya tanpa lagu popular berkenaan.

Maher Zain berinteraksi dengan para penonton. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kali akhir mengadakan persembahan di Malaysia sekitar 2016 sempena kelahiran album, One, kira-kira 4,000 penonton turut serta menyanyikan lagu yang di petik daripada album pertamanya itu.

Menjadikan Sabah selaku lokasi penutup dalam rangka jelajahnya selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, Maher yang segak mengenakan sut berwrna kelabu dan padanan seluar serta topi putih terus menghiburkan peminat yang hadir melalui lagu What a Beautiful World nyanyian asal Louis Armstrong.

Bagaimanapun, dalam keriangan melaksanakan jelajah Malaysia, Maher turut sama mengajak semua penonton bertafakur dan menghadiahkan al-Fatihah kepada kepada mangsa tembakan di dua masjid Christchurch, New Zealand pada Jumaat minggu lalu.

Turut hadir menyaksikan konsert artis antarabangsa itu adalah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri,  Datin Seri Shuryani Shuaib.

Turut hadir Yang diPertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri serta Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri pada konsert Maher Zain Malaysia Tour 2019 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dibawakan oleh CIMB Islamic Berhad dengan kerjasama New Catalyst Resources (NCR) dan My Events International, antara beberapa lagu lain yang disampaikan termasuklah Mawlaya, Allahi Allah Kiya Karo, Medina, For The Rest of My Life atau Sepanjang Hidup dan Number One For Me.

Maher menutup pentas konsert mega berkenaan dengan dendangan lagu Barak Allah Lakuma. -SabahNews Today