Pilih Bahasa

Mahkamah Litar Sook penting untuk rakyat – Ketua Hakim Negara

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum (empat, kanan) bersama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah (dua, kanan) menunjukkan plak pelancaran Mahkamah Litar Sook sambil diperhatikan oleh Pembantu Menteri Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Jannie Lasimbang (lima, kanan), Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Martin Tommy (kanan) dan Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman (tiga, kiri). Gambar Bernama

KENINGAU, 5 Feb (Bernama) — Pewujudan Mahkamah Litar di daerah kecil Sook sangat penting bagi menyelesaikan kes-kes yang dihadapi rakyat di kawasan itu, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum.

Katanya banyak kes kecil seperti kesalahan-kesalahan lalu lintas serta yang lain-lain boleh diselesaikan melalui mahkamah itu tanpa dirujuk ke daerah Keningau.

“Mereka (rakyat) tidak perlu berbelanja besar untuk membayar tambang kereta bagi mengurus kes-kes mereka di Keningau.

“Pengesahan surat sumpah, surat akuan dan sebagainya boleh diselesaikan di sini (Sook) melalui perkhidmatan mahkamah ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas merasmikan Mahkamah Litar Sook di sini, Isnin.

Mahmamah Litar Sook merupakan yang terkini di negeri itu selepas Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, Ranau, Telupid, Tuaran, Papar, Sipitang, Tenom, Nabawan dan di beberapa daerah Pantai Timur Sabah.

Sebuah bilik bicara yang terletak di bangunan Pejabat Daerah Kecil Sook disediakan untuk menempatkan operasi perkhidmatan berjadual mahkamah itu yang akan diurustadbir oleh seorang majistret dan beberapa orang kakitangan yang lain.

Hadir menyaksikan majlis perasmian itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah, Pembantu Menteri Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Jannie Lasimbang, Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman dan Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Martin Tommy.

Richard berkata kerajaan meluluskan pewujudan perkhidmatan mahkamah itu berikutan permintaan tinggi penduduk luar bandar, selain berfungsi sebagai tempat latihan kepada Ketua Daerah (KD), Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Kampung (KK) untuk menimba ilmu yang berkaitan khususnya bagaimana proses pembicaraan secara teratur dijalankan.

“Anda perlu tahu (KD, KAN, WKAN, KK) bagaimana majistret menjalankan pembicaraan, ilmu itu sangat berguna untuk anda terjemahkan di Mahkamah Anak Negeri (MAN),”

“Ini bukan bilik biasa (Mahkamah Litar), tetapi bilik latihan,” katanya dan menambah pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Sook juga digalakkan untuk menghadiri setiap sessi perbicaraan dijalankan,” katanya.

Richard mengingatkan penduduk di sekitar daerah itu agar memanfaatkan perkhidmatan itu dengan semaksimanya, dan tidak menjadikan mahkamah itu sebagai medan bertelagah setiap kali sesi perbicaraan dijalankan.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah mahkamah ini adalah tempat untuk menyelesaikan masalah secara aman, tempat mediasi (pengantara perdamaian) untuk kes yang dibicarakan,” kata Richard.

— BERNAMA