Pilih Bahasa

Mahkamah Persekutuan sahkan pembatalan keputusan Hakim Pilihan Raya telah dijangka: Anifah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Datuk Seri Anifah Aman. – Gambar fail SNT

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anifah Aman menjelaskan beliau telah menjangkakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan keputusan Hakim Pilihan Raya untuk membatalkan pemilihannya sebagai Ahli Parlimen Kimanis.

Anifah yang turut berada di mahkamah pagi tadi untuk mendengar keputusan itu terkejut apabila ketiga-tiga ahli panel yang sebelum ini membenarkan rayuan Datuk Karim Bujang pada 18 November 2018, juga meneliti rayuan beliau.

“Saya sedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan keputusan Hakim Pilihan Raya untuk membatalkan pemilihan saya sebagai Ahli Parlimen Kimanis, tetapi hal ini sudah saya jangkakan dan saya tidak terkejut dengan keputusan ini.

“Sehubungan itu peguam saya, Ansari Abdullah telah memohon tiga hakim untuk menarik diri daripada mendengar rayuan saya dengan tiga alasan iaitu:

  • Mereka telah berada di rayuan terdahulu dan telah memberi pandangan mengenai petisyen pilihan raya yang sama, oleh itu tindakan tersebut tidak neutral;
  • Amalan bahawa tidak ada hakim Sabah akan memutuskan petisyen pilihan raya yang difailkan di Sabah; dan
  • Beberapa alasan rayuan hari ini berkaitan dengan keputusan panel terdahulu.

“Walaupun berjanji untuk mengemukakan alasan penghakiman secara bertulis, namun panel pada 18 November 2018 tidak melakukannya sehingga hari ini. Saya tidak terkejut jika panel hari ini tidak memberikan alasan penghakiman bertulis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bekas Menteri Luar itu berkata meskipun beliau telah memenangi pertuduhan terhadapnya dan diberikan kos RM105,000, beliau menjelaskan perlu memfailkan rayuan hari ini untuk mempertahankan keputusan pengundi di Kimanis.

“Saya berterima kasih kepada SPR kerana menyokong rayuan hari ini dan saya akan kembali ke Kimanis dan berbincang dengan penyokong saya mengenai tindakan saya yang seterusnya,” ujarnya. – SabahNewsToday