Pilih Bahasa

Mahu kembali ke Sabah dengan persembahan berskala besar

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Penyanyi bersuara lunak asal seberang, Andmesh Kamaleng merancang kembali menghiburkan peminatnya di Sabah selepas melihat sambutan luar biasa pada Konsert Andmesh Kamaleng Live in Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Penyanyi mesra disapa Andmesh itu ketika ditemui SNT sejurus selesai konsert berkata dirinya sendiri berdebar mahu melihat sambutan peminat serta penonton yang hadir pada malam konsert itu disebabkan ia adalah persembahan sulungnya di luar Indonesia.

Penyayi Indonesia, Andmesh Kamaleng ketika mengadakan konsert di ITCC, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kali pertama melihat sorakan  peminat daripada atas sahaja sudah mampu membuatkan semangat saya berkobar-kobar.

“Ternyata penerimaan masyarakat di sini ke atas diri serta lagu-lagu saya cukup hebat.

“Ini adalah antara pengalaman indah yang akan saya ingat sepanjang bergelar anak seni dalam arena muzik.

Andmesh turut berduet dengan Valden Isaiah Majalap pada konsert sulungnya di Malaysia, Sabtu lepas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Selain itu, layanan yang diberikan penganjur sepanjang berada di negeri ini juga bagus,” katanya pertama kali mengenali Sabah khususnya Kota Kinabalu.

Andmesh berkata dia pasti kembali ke Sabah suatu hari nanti untuk menghiburkan penggemarnya mungkin dengan persembahan berskala lebih besar sebagai tanda penghargaan.

Penyayi Indonesia, Andmesh Kamaleng bersama peminatnya diatas pentas ketika mengadakan konsert di ITCC, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, penyanyi yang baru sahaja memenangi anugerah Artis Solo Lelaki Terbaik sempena Anugerah Muzik Indonesia (AMI) itu berkata berkeinginan melawat dan menikmati keindahan lokasi pelancongan menarik yang terdapat di Sabah.

“Saya diberitahu negeri ini juga cukup terkenal dengan pelbagai destinasi pelancongan.

“Ternyata apabila membuat carian di laman sosial, saya sangat terpegun beberapa tempat di sini,” katanya mula popular menerusi lagu Cinta Luar Biasa.

Penyayi Indonesia, Andmesh Kamaleng bersama penyampai radio ERA Sabah, Kim Azizd ketika mengadakan konsert di ITCC, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, bertempat di Grand Ballroom ITCC Penampang, Andmesh membuka pentas konsert menerusi lagu Kala Cinta Menggoda.

Bagaikan sudah lama menunggu kemunculan penyanyi kelahiran program realiti Rising Star Indonesia musim kedua itu, ribuan penonton yang hadir bersorak tatkala Andmesh hadir ditengah pentas dalam persalinan hitam putih.

Andmesh yang dilihat tidak kekok berinteraksi bersama penonton mendendangkan 11 buah dalam persembahan hampir dua jam itu.

Antara lagu dinyanyikan termasuklah Jangan Rubah Takdirku, Nyaman, Akad, Inikah Cinta, Jikalau Kau Cinta dan Aku.

Atmosfera konsert kian memuncak apabila Andmesh menyanyi lagu ‘berhantu’, Cinta Luar Biasa yang membuatkan seluruh dewan menyanyi bersama sepanjang lagu terbabit.

Sebelum menutup tirai konsert Andmesh Kamaleng Live In Kota Kinabalu, penghibur berusia 22 tahun itu sempat membuat emosi penonton menerusi lagu Hanya Rindu yang ditujukan buat arwah ibunya. -SabahNews Today