Pilih Bahasa

Mahu penggiat seni Sabah hasilkan lebih banyak karya tempatan ke peringkat antarabangsa

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Foong Hin (tengah) bersama pengarah dan pelakon filem Craze Below The Wind pada sidang media berkaitan filem berkenaan di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Penggiat seni filem tempatan di negeri ini diminta menghasilkan lebih banyak karya seni dalam usaha mengangkat industri seni ke peringkat antarabangsa.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata Sabah memiliki ramai pelakon serta pengkarya belakang tadbir yang berbakat dan berpengalaman.

“Sayang sekiranya kita tidak mengambil peluang yang diberikan kerana mungkin ia tidak selalu ada.

 “Selain itu, ia secara tidak langsung dapat mengasah lagi bakat sedia dan menambah lebih banyak ilmu berkaitan perfileman,” katanya ketika berucap pada sediang media pengenalan berkaitan pembikinan filem Craze Below The Wind, dekat sini hari ini.

Foong Hin (tengah) menyampaikan cendera kenangan kepada salah penaja yang terbabit dalam pembikinan filem Craze Below The Wind. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Menelan kos produksi sebanyak RM1.5 juta, filem terbabit adalah filem Cina pertama Sabah untuk sasaran antarabangsa.

Menggunakan bahasa Mandarin dan tempatan Sabah, filem berkenaan diarahkan oleh Katak Chua Soon Min.

Dalam pada itu, Foong Hin berkata pemilihan lokasi penggambaran dibeberapa destinasi sekitar negeri mampu membantu industri pelancongan untuk diperkenalkan kepada pelancong asing khusus China.

Sementara itu, Soon Min berkata pembikinan filem itu bakal bermula Ogos hadapan membabitkan lebih 100 pelakon serta 62 kru.

Beliau berkata pihak bekerjasama dengan MM2 Entertainment Malaysia dalam usaha membawa filem berkenaan ke negara luar untuk ditayangkan. – SabahNewsToday