Pilih Bahasa

Majlis iftar Ramadan Alumni UMS bersama anak yatim

Oleh Sabah News Today

Warga UMS melalui Pusat Kerjaya dan Alumni (PKA) bergambar kenangan bersama anak yatim dalam majlis Iftar Ramadan. – Gambar SNT/Ihsan UMS

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kerjaya dan Alumni (PKA) telah mengadakan Majlis Iftar Ramadan Alumni bersama Anak Yatim Madrasah Waqaf Islamiah Sabah (Mawis) bertempat di Hotel Horizon baru-baru ini.

Majlis tersebut bertujuan meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada para penghuni Mawis di samping mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan rakan-rakan alumni UMS.

Pengarah PKA, Prof Madya Dr Lai Yew Meng berkata PKA bersama-sama dengan alumni UMS mengambil inisiatif untuk mengadakan Majlis Iftar Ramadan seumpama itu setiap tahun bagi meraikan kemeriahan Ramadan bersama anak-anak yatim Mawis.

Nurlaila (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sakinah Yusof (empat dari kiri) sambil disaksikan Ismail Ali (tiga dari kiri). – Gambar SNT/Ihsan UMS

“Selain dapat menghulurkan bantuan dalam bentuk sumbangan derma, program seumpama ini juga diharap dapat memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim di samping dapat mendekatkan jurang antara anak yatim dan orang ramai.

“Saya amat berharap dengan sokongan semua pihak, kita dapat membantu jika tidak semua anak-anak ini, setidak-tidaknya menyokong mereka dalam aspek pembelajaran supaya menjadi insan yang dapat bergelar pemimpin pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Nurlaila Said yang juga merupakan alumni UMS; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Ismail Ali; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kamisah Husin serta Pengetua Mawis, Sakinah Yusof. – SabahNewsToday