Pilih Bahasa

Makan malam amal SMK Abdul Rahim untuk bina galeri sekolah

Idris (tengah) bersama kakitangan SMK Abdul Rahim Kudat melawat lokasi cadangan galeri sejarah. – Gambar SNT/Ihsan SMK Abdul Rahim

KOTA KINABALU: Syarikat korporat dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahim Kudat dipelawa untuk menyumbang bagi merealisasikan pembinaan galeri sejarah sekolah tersebut.

Sumbangan boleh dihulur menerusi pembelian tiket majlis makan amal alumni SMK Abdul Rahim Kudat yang diadakan pada 27 September di dewan sekolah tersebut.

Pengerusi pelaksana bersama Mohd Idris Shafie berkata pembinaan galeri itu yang akan mempamerkan kecemerlangan dan kejayaan dilakar pelajar sekolah itu memerlukan dana yang besar.

“Kita berharap syarikat korporat dan bekas pelajar dapat tampil untuk memberikan sumbangan selain ibu bapa serta orang perseorangan,” katanya di sini kelmarin.

Beliau yang mewakili alumni SMK Abdul Rahim berkata pihaknya telah mengedarkan tiket majlis makan malam amal itu untuk dijual.

Bagi tempat duduk dalam dewan, tiket dijual dengan harga RM100 untuk sebuah kerusi dan sebuah meja dengan 10 kerusi adalah RM1,000 manakala RM80 (luar dewan) untuk sebuah kerusi atau sebuah meja dengan 10 kerusi adalah RM800.

Idris yang juga pengerusi Hot Semekar 85 memberitahu pembinaan galeri sejarah itu diusahakan oleh pihak sekolah berkenaan.

Katanya ramai bekas pelajar sekolah tersebut telah mencatatkan kejayaan dalam kerjaya masing-masing.

“Kecemerlangan dan kejayaan mereka itu akan dilakarkan dalam galeri tersebut dan ia mampu menjadi motivasi kepada pelajar untuk berusaha gigih mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam kerjaya

masing-masing,” katanya.

Sambil melahirkan penghargaan kepada pengetua dan guru sekolah tersebut, Idris turut mengucapkan terima kasih dengan sokongan serta kerjasama yang diberikan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

sekolah tersebut dalam menjayakan program tersebut.

Bagi mereka yang mahu memberikan sumbangan atau membeli tiket majlis makan malam amal alumni boleh menghubungi Rokiah Hashim (0138656402) dan Lina Muhammad (0178895251). – SabahNewsToday