Pilih Bahasa

Malam minggu umpama di `bandar berhantu’

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Bagaikan berada di sebuah ‘bandar berhantu’, itulah gambaran suasana malam minggu di Ibu negeri ini semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Tinjauan sekitar pukul 8 malam tadi, mendapati jalan raya agak lengang tanpa kenderaan dan orang awam juga tidak kelihatan ‘ke sana ke sini’ seperti sebelum ini.

Keadaan jalan raya yang lengang dirakam dari atas jalan bertingkat di Jalan Coastal, malam tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Hanya kelihatan kenderaan polis yang melakukan rondaan Op Covid-19 bagi memastikan tiada individu melanggar PKP yang kini memasuki fasa ketiga selain rondaan cegah jenayah. 

Seiring dengan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu, tinjauan SabahNewsToday ke beberapa lokasi tumpuan utama di sini mendapati keadaan agak sunyi sepi tanpa sebarang aktiviti perniagaan mahupun pergerakan awam seperti kebiasaan khususnya pada malam hujung minggu. 

Kereta peronda polis menjalankan rondaan OP Covid-19 serta rondaan cegah jenayah pada tiap malam di pusat bandar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Itu yang dapat digambarkan di lokasi tumpuan pengunjung seperti Pasar Malam Sinsuran, Segama Waterfront, Dataran Bandaraya, Anjung Senja, dan kompleks perniagaan di Sinsuran serta Lintasan Deasoka di Jalan Gaya.

Anjung Senja antara lokasi yang menjadi tumpuan ramai pada waktu di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Perasaan ‘Macam bukan di KK’ juga dapat dirasai apabila berada di kawasan yang sebelum ini dikunjungi ramai warga bandaraya mahupun pelancong asing untuk menikmati suasana malam di sini. 

Lebih-lebih lagi ketika berada di lokasi popular jualan buah-buahan tempatan atau lebih sinonim ‘Bawah Jambatan’ di Segama, yang sebelum ini meriah dengan pekikan peniaga memanggil pelanggan. 

Kini, lokasi dibawah jejantas sepanjang 300 meter itu turut suram pada waktu malam sejak pelaksanaan PKP sebulan yang lepas.

Keadaan di bawah jejantas Segama yang dahulunya meriah dengan aktiviti perniagaan buah-buahan tempatan kini sunyi semasa pelaksanaan PKP. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Namun, disebalik kesunyian bandar ini terdapat satu mesej solidariti berbentuk hati dipaparkan menerusi cahaya lampu bilik sebuah hotel ternama di sini.

Pengurus Besar Promenade Hotel Kota Kinabalu, Hafizan Wong ketika dihubungi berkata pihaknya menyalakan lampu bilik itu sebagai tanda solidariti dengan rakyat Malaysia semasa tempoh PKP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Simbol ‘hati’ dipaparkan menerusi cahaya lampu dari bilik Promenade Hotel Kota Kinabalu sebagai simbolik solidariti menentang Covid-19. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Lampu-lampu bilik dinyalakan dalam bentuk hati bagi menyampaikan mesej harapan selain membawa kegembiraan dan mendorong semua orang untuk terus kuat dalam situasi semasa,” jelasnya.

Itulah antara gambaran yang dapat dikongsikan kepada pembaca SNT yang kebanyakan tidak dapat melihat dan merasai sendiri suasana malam di Kota Kinabalu sepanjang tempoh PKP ini.

Kain rentang cara-cara mencegah Covid-19 dipasang di Pasar Kraftangan bagi mendidik masyarakat di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tanpa diduga Kota Kinabalu dikelaskan sebagai zon merah selepas terdapat tiga kes baharu positif Covid-19 termasuk satu kes hari ini. 

Dengan pertambahan tiga kes terbaharu itu, Kota Kinabalu telah merekodkan sebanyak 43 kes positif pandemik ini selepas Tawau yang menjadi daerah pertama direkodkan sebagai zon merah akhir bulan lepas.

Tapak gerai makanan laut segar di Segama Waterfront kini sunyi tanpa sebarang aktiviti perniagaan. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tiga kes itu adalah antara dua kes baharu yang dikesan di negeri ini, dengan empat lagi kes di daerah Keningau, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sabah adalah 293 kes.

Setakat ini, Sabah masih merekodkan empat kematian dengan dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes di Tawau dan Tambunan. – SabahNewsToday