Pilih Bahasa

Malaysia bukan negara orang Melayu sahaja – PISAAN

PITAS: Persatuan Rungus Pitas Sabah (PISAAN), menyokong penuh kritikan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking terhadap ketua penganjur Kongres Maruah Melayu, Zainal Kling yang mengeluarkan kenyataan sensitif bahawa Malaysia adalah negara orang Melayu.

Presiden PISAAN, Richard Mazagi berkata Malaysia adalah sebuah negara yang terbentuk dengan gabungan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu, dan ianya patut dilihat dalam konteks sedemikian.

Richard Mazagi. Gambar Fail SNT

“Zainal Kling sepatutnya sedia maklum bahawa orang asal di Sabah dan Sarawak bukanlah berbangsa Melayu, tetapi terdiri dari pelbagai suku yang mempunyai taraf dan kedudukan seperti orang Melayu di Tanah Melayu yang kini dipanggil Semenanjung Malaysia.

“Kenyataan Zainal sememangnya akan meletakkan jarak hubungan antara rakyat Sabah dan Sarawak dengan mereka yang berada di Semenanjung kerana kenyataan sebegini ternyata membelakangkan kita yang duduk di sini.

“Sentimen perkauman semakin hebat ditimbulkan sejak akhir-akhir ini, dan orang-orang politiklah yang memulakannya.

“Bagi saya, kenyataan sebegini bukanlah perkembangan yang sihat malah satu tindakan ke belakang yang akan menjejaskan keharmonian negara ini, kata Richard.

Dia menambah isu yang sepatutnya diketengahkan sekarang adalah usaha untuk menyelesaikan pematuhan Perjanjian Malaysia 1963, dan mengiktiraf tuntutan Sabah dan Sarawak demi keseimbangan jurang perbezaan ekonomi di antara ketiga-tiga entiti.

Zainal dalam ucapannya ketika kongres baru-baru ini berkata Malaysia adalah negara orang Melayu.

Beliau mengingatkan kaum lain agar tidak melanggar kontrak sosial dengan orang Melayu, jika tidak, kerakyatan mereka boleh ‘digantung’.

Darell yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataannya berkata sikap seperti itu hanya akan membawa kepada perpecahan dan polarisasi di Malaysia.

Darell menegaskan, menyalahkan orang bukan Melayu atau menyerah kepada fahaman perlindungan (mengancam orang bukan Melayu) pastinya tidak akan membawa masyarakat Melayu ke arah kemajuan atau membangun.

Beliau yang juga timbalan presiden Warisan berkata, “kontrak sosial yang diwarisi” seperti disifatkan Zainal, boleh dianggap tidak wujud dalam konteks itu kerana Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia secara bersama.

Richard, selaku pemimpin bagi salah satu suku kaum terbesar di Sabah berharap kenyataan Zainal ini menjadi satu pengajaran kepada pemimpin lain agar melihat Malaysia sebagai negara yang dibentuk oleh tiga entiti, dan bukannya negara yang hanya dimiliki oleh Semenanjung Malaysia sahaja.

“Sudah tiba masanya dua wilayah yang setia ini dilihat secara serius.

“Selain itu, setiap tuntutan ketika pembentukan negara ini seharusnya dilunaskan secepat mungkin, kerana telah dinafikan sekian lama,” katanya.-SabahNewsToday