Pilih Bahasa

Malaysia harus teroka NFC dalam pengesanan haiwan peliharaan

Liew Vui Keong. – Gambar fail SNT

SANDAKAN, 25 Ogos (Bernama) — Malaysia perlu meneroka penggunaan teknologi komunikasi jarak dekat (NFC) dalam pengesanan haiwan peliharaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini.

Katanya dengan teknologi NFC, maklumat haiwan peliharaan boleh dikemas kini dan dihubungkan dengan pangkalan data serta dimuat turun dengan mudah menerusi telefon pintar.

“Dalam pembangunan industri haiwan peliharaan, saya berpendapat Malaysia boleh meningkatkan keupayaan mengesan haiwan peliharaan, termasuk memperkemaskan lagi penggunaan cip mikro dalam haiwan peliharaan.

“Buat masa ini, cip mikro haiwan peliharaan perlu diimbas menggunakan pengimbas khas yang terdapat di klinik haiwan,” katanya ketika merasmikan Festival Pencinta Haiwan Peliharaan Sandakan di sini hari ini.

Liew, yang juga pencinta haiwan peliharaan dan berkahwin dengan seorang doktor haiwan, berkata penggunaan teknologi NFC memudahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan serta Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) untuk bertindak balas dengan pantas terhadap kemalangan melibatkan haiwan peliharaan, penularan penyakit dan pemakluman data pemilikan haiwan tersebut.

“Jika seekor haiwan didiagnos dengan penyakit berjangkit, terutamanya yang boleh dijangkiti manusia, amat penting untuk mengesan keberadaan dan status kesihatan haiwan itu.

“Pengesanan yang lebih baik juga membolehkan masyarakat melaporkan haiwan hilang dengan lebih mudah dan agar haiwan yang hilang boleh ditemui dengan lebih pantas,” katanya.

— BERNAMA