Pilih Bahasa

Malaysia isytihar Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 16 Mac — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Muhyiddin. Gambar Bernama

Pengumuman perdana menteri itu disiarkan secara langsung menerusi media elektronik dan media sosial malam ini.

Sebanyak 125 kes positif baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 553 kes.

“Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967,” katanya.

Muhyiddin berkata Perintah Kawalan Pergerakan itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Bagi menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang-barang keperluan harian, katanya.

Perdana Menteri berkata berikutan perintah larangan itu juga, semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti ditutup bagi tempoh yang sama.

Ia juga melibatkan penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institusi latihan kemahiran di seluruh negara, katanya.

Perdana Menteri berkata Perintah Kawalan Pergerakan itu juga melibatkan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

Kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke negara ini juga disekat, katanya.

Muhyiddin berkata selain itu semua premis kerajaan dan swasta ditutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Ia meliputi air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

“Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian.

“Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini,” kata Perdana Menteri.

— BERNAMA