Pilih Bahasa

Malaysia kendali isu Covid-19 dengan baik: Motac

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohamadin (tengah) serta para tetamu mempamerkan logo Tahun Melawat Malaysia (TM) 2020 dan Persidangan Persatuan Penggembaraan Asia Pasfik (PATA) ATCM 2020 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Motac

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamadin Ketapi menegaskan bahawa Malaysia mampu mengendalikan isu wabak novel koronavirus-2019 atau Covid-19 dengan baik.

Beliau berkata kerajaan termasuk kementeriannya yakin krisis tersebut dapat ditangani seperti mana ketika negara berdepan penularan penyakit H1N1 serta sindrom pernafasan akut teruk (SARS) selama beberapa bulan.

“Sekarang ini masalah dihadapi pemain industri pelancongan disebabkan ketiadaan pelancong dari China ke negara kita disebabkan kebimbangan kerajaan terhadap Covid-19.

“Dianggarkan sebanyak 5,000 kumpulan pelancong China membatalkan lawatan mereka ke negara ini,” katanya dalma sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Penggembaraan Asia Pasfik (PATA) ATCM 2020 di sini, hari ini.

Mohamadin (tengah) memukul gong sebagai tanda perasmian Persidangan Persatuan Penggembaraan Asia Pasfik (PATA) ATCM 2020. – Gambar SNT/Ihsan Motac

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Musa Yusof; Pengerusi Pelancongan Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussien Tembakau dan Ketua Pegawai Eksekutif PATA, Dr Mario Hardy.

Persidangan sehari anjuran PATA itu disertai seramai 347 peserta daripada 36 negara.

Mengenai program itu, Mohamadin berkata beberapa isu telah dibincangkan dan persoalan dikemukakan oleh para peserta kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Rata-rata pengusaha hotel menghadapi masalah daripada segi penginapan menurun daripada 10 hingga 30 peratus.

Mario (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Mohamadin selepas perasmian Persidangan Persatuan Penggembaraan Asia Pasfik (PATA) ATCM 2020. – Gambar SNT/Ihsan Motac

“Kita telah membuat keputusan untuk membawa perkara ini lebih mendalam di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membantu mereka yang menghadapi masalah pendapatan berkurangan disebabkan wabak Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, Mario berkata PATA menjangkakan industri pelancongan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih sepenuhnya akibat wabak Covid-19..

Menurutnya ramalan yang dikeluarkan oleh PATA berkaitan wabak yang melanda global seperti Covid-19 kemungkinan berlaku dalam tempoh lima tahun.

“Bagaimanapun jika anda melihat pengalaman semasa SARS dahulu, industri pelancong secara keseluruhannya berjaya bangkit semula dengan begitu baik sekali,” katanya. – SabahNewsToday